Mari Berubah!
Ada sesuatu yang lebih susah daripada susah iaitu berubah. Sehingga ada orang yang lebih selesa untuk hidup susah, berbanding mengambil tindakan untuk berubah.
Melakukan perubahan di dalam kehidupan bukanlah satu pilihan tetapi satu kemestian. Di akhir perjalanan kehidupan kita, InsyaAllah kita akan memasuki syurga.
Siapakah yang akan kita jumpa di syurga nanti? Kita akan berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar, Saidina Usman, Saidina Ali, Nabi Ibrahim AS, Saidatina Aisyah, Saidatina Fatimah dan ramai lagi.
Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah orang-orang yang hebat dan syurga hanya menerima orang-orang yang hebat untuk menghuninya. Sekiranya kita ini tidak hebat, apakah pula pilihan yang kita ada?
Kalau tidak berjaya masuk ke syurga, jangan pula kita berfikir untuk mencari kayu dan sebagainya untuk membina ‘syurga setinggan’. Tidak layak masuk ke syurga, maka pilihan yang kitra ada adalah neraka.
Maka kita tidak ada pilihan, melainkan kita mesti menjadi orang yang hebat. Allah SWT telah memberi segala potensi untuk kita menjadi orang yang hebat. Firman Allah SWT di dalam AL-Quran, surah At-Tinn, ayat ke-4, mafhumnya:
“Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik baik kejadian “
Oleh itu bersempena tahun Hijrah yang baru ini, marilah kita melakukan perubahan, mencari dan mengenal potensi serta keistimewaan diri kita. Semoga kita mampu menjadi orang yang HEBAT!
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @ http://www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment