Monday, November 15, 2010

NIlai bukan pada barang2 bernilai


Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi bukan logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi.

Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya.

Dan melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya. Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui adalah lebih baik daripada tidur. Muazzin telah menyeru, “sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”

Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan? Menghisap rokok pula walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisap rokok termasuk sesetengah doktor.

Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan. Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik. Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai! Oleh itu nilai adalah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya, tersasar hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.

APA ITU NILAI

Apa itu nilai? Secara ringkas nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri seseorang. Ia menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, baik dan betul dalam kehidupan ini. Nilai menimbulkan rasa dalaman yang menyebabkan kita sanggup berkorban dan mempertahankan yang kita yakini berharga dalam hidup.

Justeru, nilai adalah pemandu, pendorong dan sumber kekuatan untuk kita membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu untung atau celakanya kehidupan kita di dunia dan di akhirat dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan kita. Sangat penting berpegang kepada nilai yang baik, betul dan benar. Jika tidak hidup kita akan digerakkan ke arah kemusnahan.

Seseorang individu boleh melaksanakan solat Subuh hanya apabila dia meyakini dan merasai bahawa solat Subuh itu sesuatu yang bernilai dalam hidupnya berbanding tidur. Manakala perokok tegar akan terus merokok kerana merasakan perbuatannya itu akan memberi ketenangan dan keseronokan. Keputusan yang dibuat untuk bangun solat Subuh atau terus merokok adalah ditentukan oleh nilai mereka masing-masing.

Nilai pegangan seseorang menentukan apa yang dirasakannya penting dan sangat berharga dalam hidup. Setipa orang mesti jelas tentang apakah nilai yang dipegangnya. Ia menjawab persoalan, apa yang kita mahu dalam hidup ini dengan sejelas-jelasnya. Malangnya, ramai orang yang tidak tahu secara spesifik apa yang mereka mahu dalam hidup. Sekali gus mereka akan kabur tentang erti kejayaan dan kebahagiaan.

Bolehkah kita mencapai sesuatu yang tidak kita ketahui? Tidak hairan kalau dikatakan, masalah manusia bukan tidak boleh berjaya tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.

Dan ramai juga orang yang telah tahu tentang apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat untuk mencapainya. Ingatlah, sekiranya kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, hanya ada dua puncanya. Pertama, kita tidak benar-benar inginkan (keinginan kita tidak menyala-menyala). Kedua, kerana kita tidak membayar ‘harga’ (usaha, kesusahan dan kesabaran) untuk mencapai keinginan itu.

KONFLIK NILAI

Jika kedua-dua faktor di atas ujud dalam diri seseorang, itu menunjukkan dia menghadapi masalah nilai – sama ada dia tidak mempunyai nilai langsung atau nilainya dalam keadaan bercelaru dan bertentangan antara satu sama lain. Misalnya, dia ingin kejayaan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus seronok di zon selesanya. Mana mungkin kejayaan dicapai selagi kita berada di zon selesa? Kejayaan hanya berada di zon mencabar. Inginkan kejayaan tetapi ingin terus berseronok samalah seperti mengharapkan terang dan gelap pada masa yang sama.

Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya? Inilah konflik nilai yang sering berlaku dalam diri orang yang gagal. Ironinya, ada orang inginkan kasih sayang, persahabatan dan ketenangan dalam perkahwinan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus menikmati kebebasan tanpa perlu dibebankan oleh tanggung jawab dan amanah bagi melindungi isteri dan anak-anaknya. Oleh sebab itu dia jadi akan jadi serba salah, antara keinginan untuk berkahwin atau terus membujang.

Orang yang mengalami konflik nilai tidak akan bahagia. Dia akan selalu berada dalam situasi dan kondisi yang serba salah dan serba tidak kena. Satu-satunya cara untuk merasai kebahagiaan dan kepuasan dalam kehidupan ialah kita mesti hidup dengan nilai-nilai yang benar. Jika tidak, kita akan terus dihantui oleh rasa marah, kecewa, kekosongan, kesunyian dan kebosanan.

Bila itu berlaku, ada manusia beralih kepada arak, dadah, zina dan lain-lain bentuk



kemungkaran. Dan ramai pula yang menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen secara maraton, membuang masa dengan permainan video, mendengar lagu demi lagu dan lain-lain unsur budaya hedonisme. Semua ini adalah hasil kekosongan dan kesunyian jiwa.

Arak, dadah, seks bebas dan juga budaya hedonisme adalah umpama ‘pain killer’ untuk mengubati masalah jiwa manusia yang gersang dengan nilai-nilai murni. Ia hanya memberi kelegaan sementara. Ia tidak akan memberi penyelesaian tuntas. Pada hakikatnya kita sedang berdepan dengan masalah nilai, bukan masalah dadah, seks bebas atau lain-lain.

Orang yang solat Subuh, merasakan keredaan Allah itu lebih berharga daripada keenakan tidur seperti mana perokok yang merasakan keseronokan itu lebih penting daripada kesihatan. Oleh sebab itu, amat penting kita berpegang dengan nilai yang tepat dalam hidup ini. ia adalah faktor yang menentukan sama ada kita hidup dalam kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan atau sebaliknya. Malah nilai juga umpama kompas moral yang menentukan tindakan kita dalam situasi yang mencabar dan kritikal. Semakin jelas nilai yang kita pegang, maka semakin mudah dan tidak teragak-agak kita menghadapi kehidupan.

Justeru, setiap kali kita mengalami kesukaran dalam membuat keputusan ini adalah disebabkan diri kita tidak jelas tentang nilai pegangan kita. Contohnya, kita sedang menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba ada orang cuba memberi rasuah. Maka ketika itu, terjadilah konflik dalam diri kita, apakah kita ingin memilih kesenangan atau kejujuran? Sekiranya kita berasa sangat sukar untuk membuat pilihan, itu menunjukkan bahawa kita masih tidak jelas tentang apa yang paling berharga dalam hidup ini – kejujuran atau kesenangan.

Sebaliknya, bagi orang yang jelas pegangan nilainya seperti Sayidina Abu Bakar r.a. konflik yang sedemikian tidak ujud sama sekali. Sebaik dia mengetahui bahawa susu yang diminumnya adalah dari sumber yang haram, maka dia segera memuntahkan kembali susu itu tanpa berfikir panjang lagi. Begitu juga apabila Sayidina Khalid Al Walid apabila dilucutkan jawatannya, dia berkata, “aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar.”

NILAI MENTUKAN CARA HIDUP

Dua orang yang mempunyai nilai yang berbeza akan hidup dengan cara yang berbeza. Mereka akan memilih kerjaya, membeli rumah, memandu kereta dan memilih jodoh yang saling berbeza. Si A yang berpegang kepada nilai agama, akan memilih seorang gadis yang menutup aurat, bekerja di firma yang halal perkhidmatan, produk dan operasinya, membeli rumah dengan pinjaman di bank yang berlandaskan syariat.

Manakala si B yang berpegang kepada nilai keselesaan dan kemewahan akan memilih gadis yang mendedahkan aurat (asalkan cantik), bekerja dengan gaji yang besar (walaupun dalam firma yang haram) dan membuat urusan kewangannya di bank-bank yang mengamalkan riba. Si A merasakan dirinya beruntung, begitu juga si B. Apakah ini benar? Jawabnya, tidak. Dalam Islam, keuntungan dan kerugian ditimbang atas neraca hala dan haram, pahala dan dosa, keredaan Allah atau kemurkaan-Nya.

Untuk bahagia, berjaya dan tenang dalam hidup ini kita mesti jelas tentang apa yang paling penting dalam hidup ini dan membuat keputusan untuk hidup dengannya tidak kira apa pun yang terjadi. Lihatlah impaknya apabila Sayidina Bilal bin Rabah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada waktu itu ia berpegang dengan nilai iman yang dirasakannya lebih berharga daripada nyawanya. Walaupun diseksa setengah mati, dia tetap berpegang dengan nilai iman.

Begitulah yang terjadi kepada Yasir dan Sumayyah yang sanggup mati di hujung tombak kerana memilih iman berbanding kenikmatan dunia dan segala isinya. Kecintaan Khubaib terhadap Rasulullah saw yang mengatasi kesenangan dirinya bersama keluarga sehingga dia berkata, “aku lebih rela mati daripada melihat Rasulullah tercucuk duri.” Dari kaca mata dunia, Bilal, Yasir, Sumyyah dan Khabbab adalah manusia yang bodoh dan rugi… tetapi dari kaca mata Islam merekalah yang paling beruntung dan berjaya!

No comments:

Post a Comment