Friday, November 26, 2010

Keimanan yg tak beroperasi~



Apakah petanda keimanan yang tidak beroperasi?

Ada beberapa.

Mengapa penting untuk kita mengetahuinya?

Untuk mengukur diri kita. Untuk melihat ‘keadaan sebenar’ kita. Untuk memerhatikan apakah yang patut kita lakukan pada diri kita.

Sekiranya tidak mahu ambil pusing?

Terpulang. Tetapi selagi saya masih hidup, saya akan berusaha membangkitkan hal-hal ini buat peringatan diri dan orang lain bersama. Keimanan yang tidak beroperasi hanya akan melahirkan peribadi yang tidak berkualiti, hilang ‘kekuatan sebenar’ dan mudah tersungkur ke dalam kegelapan.

Dan hari ini, keimanan yang tidak beroperasi itu tidak semata-mata disebabkan oleh diri sendiri yang tidak ambil peduli. Zaman ini, ada musuh yang berusaha untuk mematikan operasi keimanan dalam diri mukmin, dan mereka juga berusaha menambah ketidak pedulian muslim terhadap keimanan mereka.

Tidak membuahkan amal

Satu petanda bahawa keimanan kita tidak beroperasi adalah, kita tidak mampu melakukan amal kebaikan. Kita merasakan bahawa, keluar dari kesenangan dunia adalah satu kepayahan, menyebabkan kita merasa tidak perlu kepada amalan tambahan.

Akhirnya kita duduk di atas dunia ini, tanpa melakukan kerja-kerja kebaikan. Baik buat diri sendiri, mahupun buat masyarakat.

Tolakan keimanan adalah apa yang diperlukan, kerana melakukan amalan bermakna akan berlakunya pengorbanan masa, kemungkinan juga melibatkan pengorbanan harta, bahkan ada yang beramal hingga mengorbankan nyawa(Jihad fi sabilillah).

Hal ini kerana, keimanan adalah keyakinan bahawa semua pengorbanan itu ada ganjarannya. Semua amalan itu ada kebaikannya. Kehilangan keimanan ini, menyebabkan kita tidak lagi ‘bernafsu’ dalam melaksanakan perkara-perkara kebaikan. Kita akan rasa berat, kita akan rasa lemah. Lebih buruk, kita rasa semua itu membazir masa kita.

Keimanan tidak akan terus lenyap begitu sahaja. Kita akan melihat ‘penurunan’nya terlebih dahulu. Kita sepatutnya peka dan sensitif di dalam hal ini. Mungkin dahulu kita jenis membaca Al-Quran sehari sepuluh muka surat, tetapi sekarang membaca Al-Quran sehari semuka pun sukar. Dahulu kita selalu ke masjid, sekarang tidak lagi. Dahulu kita selalu bangun Subuh tepat waktu, sekarang tidak lagi.

Perkara-perkara ini, adalah petanda bahawa keimanan kita mengalami ‘penurunan’.

Kata-kata Tabi’in yang popular berbunyi begini: “Iman itu bukan sekadar bicara, bukan juga sekadar cita-cita, tetapi iman itu adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal.”

Mukmin yang memahami kepentingan iman, dan mengetahui betapa iman adalah ’sumber tenaga’nya untuk terus menjadi hamba Allah SWT, akan peka dan sensitif akan hal ini. Melihat ‘penurunan’, maka dia akan segera berusaha muhasabah diri dan menolak diri untuk naik semula.

Tidak rasa benci dengan dosa

Antara lain petanda bahawa keimanan sudah mula tidak beroperasi adalah, hilangnya perasaan benci kepada dosa. Orang-orang yang beriman, akan melihat bahawa keredhaan Allah adalah utama. Maka, dosa adalah musuh mereka yang pertama.

Namun, apabila diri sudah merasakan ‘biasa’ dengan dosa, melihat kemungkaran itu sebagai ‘adat’, merasakan bahawa maksiat itu adalah ‘tidak mengapa’, menganggap mengambil sistem selain sistem Allah itu adalah ‘normal, modenisasi’ dan sebagainya, maka itu adalah tanda bahawa keimanan kita ‘mengalami penurunan’ dan mula tidak beroperasi.

Apabila iman tidak beroperasi, kita tidak akan merasakan bahawa mungkar itu perkara besar. Normalnya, orang beriman akan melihat bahawa hubungannya dengan Allah adalah perkara yang besar. Maka, apa-apa yang memutuskan hubungannya kepada Allah, adalah besar juga untuk diperhatikan buat dielak.

Tetapi apabila kebencian terhadap dosa itu hilang, nyatalah bahawa kita tidak lagi menganggap bahawa hubungan kita dengan Allah adalah penting. Atau dalam erti kata lain, keimanan kita tidak mampu lagi memproses bahawa dosa adalah berlawanan dengan apa yang Allah SWT redhai.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulallah SAW bersabda: “Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan minum arak, orang yang minum, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika itu dia sedang beriman”. Hadith Sohih Riwayat Bukhari.

Hadith jelas menyatakan bahawa, keimanan itu tidak wujud di kala wujudnya dosa. Maka, bagaimanakah pula yang menganggap dosa adalah perkara ‘normal’?

Bila keimanan tidak beroperasi

Tidak mampu melakukan amal kebaikan, dan tidak pula mampu menentang keburukan, maka apakah lagi yang ada di tangan kita?

Tiada apa-apa. Di sinilah jahiliyyah akan merayap dan melilit ummah, di kala kita semua terbelenggu kerana tidak beroperasinya keimanan. Akhirnya, hanya kekalahan yang menanti, hanya kemusnahan yang menunggu, hanya kehancuran yang ada di penghujung.

Itu bahananya apabila keimanan kita tidak lagi beroperasi.

Deria orang beriman, adalah keimanannya. Keimanan, adalah deria utama untuk mengesan kebaikan dan keburukan, deria utama untuk menggerakkan segala pancaindera tunduk dan taat kepada Allah SWT. Tidak beroperasinya keimanan, bermakna lumpuhlah seorang mukmin.

Lebih dasyat lagi, ia memberikan kekalahan abadi kepada kita di neraka nanti.

Penutup: Apa khabar iman?

Dahulu, saya ada ramai senior yang akan memulakan pertanyaan khabar dengan berkata: “Apa khabar iman?” Dan sehingga hari ini, saya masih teringat senyuman mereka di kala bertanyakan hal itu.

Terasa hidup dengan soalan yang automatik membuatkan diri bermuhasabah dan bergerak untuk meningkatkan keimanan.

Maka di sini saya ingin bertanya.

“Apa khabar iman kita?”

Dan kita jawablah dengan amalan.


petikan daripada blog hilal asraf~

Sunday, November 21, 2010

Kawan-teman

Kawan apalah yang kau kesalkan Kerana Tuhan kau kehilangan kawan Kerana kebenaran dihina Jangan kau ragu dalam keimanan

Kadang-kadang kawan jadi lawan Kadang-kadang lawan jadi kawan Apalah disedihkan hati Setiap insan di dalam kekurangan

Jangan sedih selalu tersisih Bukan kau saja ditimpa malang Ingatlah para Rasul mulia Lebih terseksa menderita Mereka bahagia dalam derita Mereka kaya di dalam papa

Mereka memadai dengan Tuhannya Itulah kebahagiaan Di waktu sempit seorang diri Kawan janganlah disedihkan hatimu

Tetapi mereka merasai ramai
Walaupun keseorangan

~Lirik Lagu Kawan Dari Hijjaz~

Sama2lah kita menghargai kawan,sahabat & teman kita yang masih ada disisi kita..Jangan takut kehilangan kawan kerana ALLAH.Ingatlah,tak ramai yang sanggup bersusah payah kerana ALLAH & RASUL.Berkawanlah kerana ALLAH,berpisah kerana ALLAH,nescaya ALLAH akan menjaga ukhuwah itu selama2nya walaupun berpisah dua jasad..Jadikan dua hati itu menjadi satu..teruskan pengharapan kepada ALLAH moga dikurniakan sahabat sejati yang membawa ke arah keimanan..Jangan bersedih kerana ALLAH ciptakan sesuatu itu ada sebab musababnya,ALLAH MAHA ADIL..

Ku teringat semua sahabat,rakan & teman lamaku..ku amat merindui kalian semua.doaku kan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian..kepada semua sahabat,rakan & temanku,maafkan diri ini jika ada kekurangan & kelemahan dalam menjalinkan ukhuwah keranaNYA..sesungguhnya diri ini hanyalah "Al-Faqirah Wad Dho'ifah Ilallah"..bantulah diriku ini dalam mencari & mengenal cinta hakiki nan abadi yakni cinta ILAHI..Ku tetap bersyukur padaNYA kerana dihadiahkan sahabat,rakan & teman seperti kalian semua..Moga ukhuwah kita berkekalan selama2nya dalam keredhaan & rahmat kasihNYA..


Friday, November 19, 2010

hati



setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.

Tapi..kenapa hati kita tak gembira?



Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"



Apa masalah kita?



Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.



Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?



Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?



Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..



Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.



Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.



Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.



Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

“carilah hatimu sewaktu membaca al-Qur’an, jika kamu tidak temui, maka carilah hatimu ketika mengerjakan solat…seandainya tidak temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati, jika tetap gagal menemuinya…berdoalah kepada ALLAH, pintalah hati yang baru…”

“ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (surah ar-Ra’du:28)

lalu ingatlah; hati yang lapang dan tenang bertitik tolak daripada saratnya muatan IMAN


YaNG INdAH HaNYa SmEnTaRa,
YaNG ABaDi aDaLaH KeNaNgan,
YaNG IkHLaS dARi HaTi,
YaNG TuLuS DaRI SaNuBaRi,,,
TiDaK MuDaH MeNCaRi YanG HiLaNG,
TiDaK MudaH meNGeJaR ImPiaN daN TiDaK MuDah MemPerTaHanKan YaNG Ada

iBADAH QURBAN




Bagi yang sudah biasa dengan ibadah haji dan korban, mungkin tiada kemusykilan. Namun bagi yang baru berjinak-jinak dengan ibadah korban ini sudah tentunya banyak kemusykilan dan persoalan yang bermain di dalam hati. Berikut terdapat beberapa tips yang boleh dijadikan panduan.

Menunaikan haji ke Mekah bagi yang berkemampuan adalah ibadat yang terkandung dalam Rukun Islam dan mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.

Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 10 Zulhijjah juga disebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Bagi yang tidak mengerjakan haji sudah tentu sibuk dengan persiapan melaksanakan niat korban yang diraikan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Umur haiwan korban dikelaskan begini:

  1. Unta – berumur antara lima hingga enam tahun.
  2. Lembu, kerbau atau kambing – berumur antara dua hingga tiga tahun.
  3. Biri-biri – berumur antara setahun hingga dua tahun atau yang berumur melebihi enam bulan tetapi sudah bersalin gigi hadapan.

Jenis haiwan yang boleh dijadikan korban pula ialah haiwan al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina yang tidak cacat. Cacat yang dimaksudkan termasuklah:

  1. Tiada atau terpotong telinga atau lidah atau ekor walaupun sedikit;
  2. Buta sebelah mata atau kedua-duanya;
  3. Gila atau berpenyakit;
  4. Berkudis walaupun sedikit;
  5. Tersangat kurus atau terlalu tempang; dan
  6. Yang bunting atau yang baru melahirkan anak.

Daging korban pula terbahagi kepada dua iaitu korban wajib atau nazar, dan korban sunat. Daging korban wajib atau nazar wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut.

Bagi korban sunat pula, sunat hukumnya bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripada daging tersebut.

Dalam berkorban juga terdapat beberapa pantang larang yang telah digariskan dalam syariat, iaitu:

  1. Haram menyedekahkan daging korban kepada orang kafir.
  2. Orang yang melaksanakan korban atau warisnya tidak boleh menjual daging, kulit, bulu atau mana-mana bahagian haiwan korban tersebut.
  3. Haram menjadikan kulit dan daging haiwan korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan dengan jalan sedekah atau hadiah.
  4. Sisa tulang yang telah dimasak atau dimakan hendaklah ditanam. Elak dibiarkan bersepah sehingga dimakan haiwan lain seperti kucing atau anjing. Ini adalah satu adab dalam pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Jika tidak disengajakan, maka tidak berdosa.
  5. Jika telah bernazar untuk korban haiwan yang sudah ada kecacatan, maka wajar dilaksanakannya.

HIKMAH BERQURBAN

  • Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

  • Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.

  • Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

Semoga dengan panduan ini dapatlah kita sama-sama menjadikan ibadah korban sebagai amalan tahunan kita.

Sudahkah anda menunaikan ibadah korban? Wallahu a’lam.

Monday, November 15, 2010

NIlai bukan pada barang2 bernilai


Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi bukan logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi.

Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya.

Dan melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya. Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui adalah lebih baik daripada tidur. Muazzin telah menyeru, “sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”

Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan? Menghisap rokok pula walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisap rokok termasuk sesetengah doktor.

Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan. Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik. Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai! Oleh itu nilai adalah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya, tersasar hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.

APA ITU NILAI

Apa itu nilai? Secara ringkas nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri seseorang. Ia menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, baik dan betul dalam kehidupan ini. Nilai menimbulkan rasa dalaman yang menyebabkan kita sanggup berkorban dan mempertahankan yang kita yakini berharga dalam hidup.

Justeru, nilai adalah pemandu, pendorong dan sumber kekuatan untuk kita membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu untung atau celakanya kehidupan kita di dunia dan di akhirat dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan kita. Sangat penting berpegang kepada nilai yang baik, betul dan benar. Jika tidak hidup kita akan digerakkan ke arah kemusnahan.

Seseorang individu boleh melaksanakan solat Subuh hanya apabila dia meyakini dan merasai bahawa solat Subuh itu sesuatu yang bernilai dalam hidupnya berbanding tidur. Manakala perokok tegar akan terus merokok kerana merasakan perbuatannya itu akan memberi ketenangan dan keseronokan. Keputusan yang dibuat untuk bangun solat Subuh atau terus merokok adalah ditentukan oleh nilai mereka masing-masing.

Nilai pegangan seseorang menentukan apa yang dirasakannya penting dan sangat berharga dalam hidup. Setipa orang mesti jelas tentang apakah nilai yang dipegangnya. Ia menjawab persoalan, apa yang kita mahu dalam hidup ini dengan sejelas-jelasnya. Malangnya, ramai orang yang tidak tahu secara spesifik apa yang mereka mahu dalam hidup. Sekali gus mereka akan kabur tentang erti kejayaan dan kebahagiaan.

Bolehkah kita mencapai sesuatu yang tidak kita ketahui? Tidak hairan kalau dikatakan, masalah manusia bukan tidak boleh berjaya tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.

Dan ramai juga orang yang telah tahu tentang apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat untuk mencapainya. Ingatlah, sekiranya kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, hanya ada dua puncanya. Pertama, kita tidak benar-benar inginkan (keinginan kita tidak menyala-menyala). Kedua, kerana kita tidak membayar ‘harga’ (usaha, kesusahan dan kesabaran) untuk mencapai keinginan itu.

KONFLIK NILAI

Jika kedua-dua faktor di atas ujud dalam diri seseorang, itu menunjukkan dia menghadapi masalah nilai – sama ada dia tidak mempunyai nilai langsung atau nilainya dalam keadaan bercelaru dan bertentangan antara satu sama lain. Misalnya, dia ingin kejayaan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus seronok di zon selesanya. Mana mungkin kejayaan dicapai selagi kita berada di zon selesa? Kejayaan hanya berada di zon mencabar. Inginkan kejayaan tetapi ingin terus berseronok samalah seperti mengharapkan terang dan gelap pada masa yang sama.

Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya? Inilah konflik nilai yang sering berlaku dalam diri orang yang gagal. Ironinya, ada orang inginkan kasih sayang, persahabatan dan ketenangan dalam perkahwinan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus menikmati kebebasan tanpa perlu dibebankan oleh tanggung jawab dan amanah bagi melindungi isteri dan anak-anaknya. Oleh sebab itu dia jadi akan jadi serba salah, antara keinginan untuk berkahwin atau terus membujang.

Orang yang mengalami konflik nilai tidak akan bahagia. Dia akan selalu berada dalam situasi dan kondisi yang serba salah dan serba tidak kena. Satu-satunya cara untuk merasai kebahagiaan dan kepuasan dalam kehidupan ialah kita mesti hidup dengan nilai-nilai yang benar. Jika tidak, kita akan terus dihantui oleh rasa marah, kecewa, kekosongan, kesunyian dan kebosanan.

Bila itu berlaku, ada manusia beralih kepada arak, dadah, zina dan lain-lain bentuk



kemungkaran. Dan ramai pula yang menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen secara maraton, membuang masa dengan permainan video, mendengar lagu demi lagu dan lain-lain unsur budaya hedonisme. Semua ini adalah hasil kekosongan dan kesunyian jiwa.

Arak, dadah, seks bebas dan juga budaya hedonisme adalah umpama ‘pain killer’ untuk mengubati masalah jiwa manusia yang gersang dengan nilai-nilai murni. Ia hanya memberi kelegaan sementara. Ia tidak akan memberi penyelesaian tuntas. Pada hakikatnya kita sedang berdepan dengan masalah nilai, bukan masalah dadah, seks bebas atau lain-lain.

Orang yang solat Subuh, merasakan keredaan Allah itu lebih berharga daripada keenakan tidur seperti mana perokok yang merasakan keseronokan itu lebih penting daripada kesihatan. Oleh sebab itu, amat penting kita berpegang dengan nilai yang tepat dalam hidup ini. ia adalah faktor yang menentukan sama ada kita hidup dalam kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan atau sebaliknya. Malah nilai juga umpama kompas moral yang menentukan tindakan kita dalam situasi yang mencabar dan kritikal. Semakin jelas nilai yang kita pegang, maka semakin mudah dan tidak teragak-agak kita menghadapi kehidupan.

Justeru, setiap kali kita mengalami kesukaran dalam membuat keputusan ini adalah disebabkan diri kita tidak jelas tentang nilai pegangan kita. Contohnya, kita sedang menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba ada orang cuba memberi rasuah. Maka ketika itu, terjadilah konflik dalam diri kita, apakah kita ingin memilih kesenangan atau kejujuran? Sekiranya kita berasa sangat sukar untuk membuat pilihan, itu menunjukkan bahawa kita masih tidak jelas tentang apa yang paling berharga dalam hidup ini – kejujuran atau kesenangan.

Sebaliknya, bagi orang yang jelas pegangan nilainya seperti Sayidina Abu Bakar r.a. konflik yang sedemikian tidak ujud sama sekali. Sebaik dia mengetahui bahawa susu yang diminumnya adalah dari sumber yang haram, maka dia segera memuntahkan kembali susu itu tanpa berfikir panjang lagi. Begitu juga apabila Sayidina Khalid Al Walid apabila dilucutkan jawatannya, dia berkata, “aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar.”

NILAI MENTUKAN CARA HIDUP

Dua orang yang mempunyai nilai yang berbeza akan hidup dengan cara yang berbeza. Mereka akan memilih kerjaya, membeli rumah, memandu kereta dan memilih jodoh yang saling berbeza. Si A yang berpegang kepada nilai agama, akan memilih seorang gadis yang menutup aurat, bekerja di firma yang halal perkhidmatan, produk dan operasinya, membeli rumah dengan pinjaman di bank yang berlandaskan syariat.

Manakala si B yang berpegang kepada nilai keselesaan dan kemewahan akan memilih gadis yang mendedahkan aurat (asalkan cantik), bekerja dengan gaji yang besar (walaupun dalam firma yang haram) dan membuat urusan kewangannya di bank-bank yang mengamalkan riba. Si A merasakan dirinya beruntung, begitu juga si B. Apakah ini benar? Jawabnya, tidak. Dalam Islam, keuntungan dan kerugian ditimbang atas neraca hala dan haram, pahala dan dosa, keredaan Allah atau kemurkaan-Nya.

Untuk bahagia, berjaya dan tenang dalam hidup ini kita mesti jelas tentang apa yang paling penting dalam hidup ini dan membuat keputusan untuk hidup dengannya tidak kira apa pun yang terjadi. Lihatlah impaknya apabila Sayidina Bilal bin Rabah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada waktu itu ia berpegang dengan nilai iman yang dirasakannya lebih berharga daripada nyawanya. Walaupun diseksa setengah mati, dia tetap berpegang dengan nilai iman.

Begitulah yang terjadi kepada Yasir dan Sumayyah yang sanggup mati di hujung tombak kerana memilih iman berbanding kenikmatan dunia dan segala isinya. Kecintaan Khubaib terhadap Rasulullah saw yang mengatasi kesenangan dirinya bersama keluarga sehingga dia berkata, “aku lebih rela mati daripada melihat Rasulullah tercucuk duri.” Dari kaca mata dunia, Bilal, Yasir, Sumyyah dan Khabbab adalah manusia yang bodoh dan rugi… tetapi dari kaca mata Islam merekalah yang paling beruntung dan berjaya!