Monday, July 12, 2010

TAWAKKAL 2


Bertawakkallah Kamu Kepada Allah.


Sahabat yang dikasihi Allah,


Semoga kesejahteraan, keberkatan serta keredhaan Allah sentiasa melimpahi dan membahagiakan sahabat semua.

Untuk menjadi hamba Allah, tanggungjawabmu adalah sentiasa menyembah Allah serta beribadah semata-mata kerana-Nya. Dirimu mestilah dapat menahan segala macam godaan yang membuatkan jiwa dalam keraguan.Jika jiwa ragu-ragu tidak akan dapat menghasilkan ibadah yang baik dan diredhai Allah.Sedangkan melaksanakan ibadah perlu kepada ketenangan rohani serta jasmani. Ini hanya mampu dilakukan oleh orang yang bertawakkal kepada Allah.

Tawakkal menurut Islam membawa maksud meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah. Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

Sahabat,
Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakkal. Tawakkal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakkal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah s.w.t. serta percaya akan pertolongan Allah.

Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.”

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan menjadi orang yang paling kaya hendaklah lebih mempercayai kekuatan dirinya.”

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
(Surah al-Maidah ayat 23)


Sahabatku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah!

Lihatlah pula bahagian tawakkal yang di jelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Minhaju Abidin’.Tawakkal ini merangkumi tiga sudut :

Pertama. Tawakkal mengenai qismah (nasib atau takdir).
Yakin terhadap keputusan Allah yang tetap tidak berubah. Apa jua yang telah ditentukan Allah sejak azali lagi pasti akan kita terima. Maka, bertakwa kepada Allah adalah wajib, kerana segala yang digariskan Allah dalam ‘Lauhul Mahfudz’ adalah benar.

Kedua. Tawakkal dalam pertolongan Allah.
Misalnya dalam keadaan genting berjuang atau dalam apa bentuk kesempitan, Allah menjanjikan pertolongan bagi kita. Sekiranya kita menghadapi suasana begini, keyakinan mestilah dibulatkan, jauhi keraguan dan janji Allah itu pasti benar-benar berlaku.

Ketiga. Tawakkal dalam hal rezeki.
Sesungguhnya di samping menetapkan perintah-Nya. Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)


Sahabat,
Jadilah dirimu umat yang hidup tenteram dan tidak terpengaruh dengan perubahan yang memesongkan matlamat deen Islam.

Selesaikan masaalah ibadah dan tanggungjawabmu tanpa dihalang oleh apa jua godaan.Nanti pasti kamu akan menjadi golongan yang kuat, bebas dan merdeka serta mampu membawa kesejahteraan kepada kehidupan insan.

Sesungguhnya yakinilah bahawa :
*Dunia seisinya beserta akhirat adalah dalam kekuasaan Allah.
*Semua makhluk adalah hamba Allah.
*Urusan rezeki dan apa jua persoalannya adalah dalam susunan dan kekuasaan Allah.
*Allah sebagai Penguasa dan Pemilik alam semesta, segala yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.

Ambillah pengajaran dan perbualan berikut ;
Abdullah bin Umar bertanya, “Bagaimana jika engkau panjang umur dan hidup ditengah-tengah orang yang suka menimbun harta untuk bertahun-tahun disebabkan lemah keyakinannya dengan janji Allah?”

Imam Hasan al-Basri menjawab, “Allah melaknat orang-orang yang tidak mempercayai jaminan-Nya.”

Imam Uwes Qarni r.a pula menyatakan, “Meskipun engkau beribadat sebanyak bilangan penghuni langit dan bumi sekalipun, tidak diterima ibadahmu sebelum engkau mempercayai jaminan Allah.”

Bertanya pula seorang sahabat,”Bagaimana tanda orang yang percaya dengan jaminan Allah.?”

Jawab Imam Uwes Qarni, “Dia sentiasa merasa tenteram dan aman dengan jaminan Allah. Tiada suatu pun yang memalingkannya hingga ia mempunyai banyak kelapangan masa beribadat kepada Allah s.w.t.”

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon kepada Allah semoga kita diberi-Nya kebaikan serta petunjuk agar sentiasa meyakini kekuasaan-Nya. Segala pergantungan jiwa kita seluruhnya hanya terhadap Allah dan tidak dipesungkan kepada selain dari perlindungan Allah.

Ingatlah pesanan berikut :

*Untuk menjadi orang yang paling alim kamu hendaklah takut kepada Allah, takut akan azab dan siksaan-Nya.

*Untuk menjadi orang yang istimewa disisi Allah hendaklah kamu sentiasa berzikir kepada Allah siang dan malam, basahkan lidahmu dengan menyebut nama-Nya.

*Untuk menjadi orang yang paling baik dan berguna, peruntukkanlah masamu berkhidmat pada masyarakat yang memerlukan baktimu.

*Untuk menjadi orang yang paling adil pada orang lain, kamu hendaklah mengasihi orang lain seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.

*Untuk mendapat kesempurnaan iman kamu hendaklah perelok dan perbaiki akhlak kamu.Sesungguhnya akhlak dan iman tidak dapat dipisahkan.



No comments:

Post a Comment