Thursday, July 15, 2010

Allah Maha Berkuasa di Seluruh Alam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada Allah-lah hakikat manfaat dan mudarat. Tiada suatu apapun yang dapat memberikan manfaat maupun mudarat melainkan dengan izin-Nya. Allah-lah yang menghina dan Allah-lah yang memulikan. Sesiapa yang dimuliakan Allah, maka dialah orang mulia. Barangsiapa yang dihinakan Allah, sesungguhnya benarlah dia seorang yang hina. Segalanya adalah milik Allah.

Segalanya bersumber daripada khazanah Allah s.w.t.. Khazanah yang tiada batas dan hadnya. Khazanah Allah yang maha luas, seluas Kudrat dan Iradat Allah yang tiada had dan batasnya. Khazanah yang pintunya tidak pernah tertutup dan isinya tidak pernah berkurang.

Jika berhimpun seluruh manusia dan jin daripada yang awal sehingga yang terakhir daripada mereka di satu lapangan, lalu dengan serentak masing-masing berdo'a memohon kepada Allah setiap hajat dan keinginan mereka, dengan bahasa masing-masing yang bermacam-macam lagi berbagai, pasti, pasti dan pasti!. Segala permohonan mereka itu dapat didengar dan dapat difahami oleh Allah s.w.t.

Dan jika Allah s.w.t. memakbulkan setiap do'a dan permintaan tersebut, nescaya tidak berkurang satu apa pun daripada Allah s.w.t., melainkan ibarat setitis air daripada lautan yang terbentang luas. Inilah Kudrat Allah, itulah khazanah Allah s.w.t. Di tangan Allah ada Sunnatullah (hukum-hukum peraturan Allah), dan di tangan Allah jugalah adanya Kudratullah (kemutlakan kekuasaan Allah).

Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t. Maha Berkuasa di atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Harus dan bebas bagi Allah untuk menjadikan atau melakukan sesuatu berdasar asbab (sebab-akibat) dan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu menyalahi asbab. Bahkan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu tanpa asbab. Pisau yang sama di tangan Nabi Ibrahim a.s. mampu membelah batu, tetapi pisau yang itu juga tidak dapat melukakan Ismail r.a. Api yang marak membakar ranting-ranting dan puntung-puntung kayu yang membukit dengan lahapnya, tetapi api yang menggunung itulah yang tidak mampu membakar walau sehelai roma Nabi Ibrahim a.s.

Untuk hidup, kita perlukan udara, air dan makanan, tetapi apakah yang dapat menjadi punca kehidupan kepada Nabi Yunus a.s. selama dia berada sekian hari lamanya di dalam perut ikan Nun? Yang ada hanyalah segala kematian; tanpa makanan dan tanpa minuman dan tanpa udara. Inilah yang dinamakan Kudratullah, yang ada bersama Nabi Yunus a.s. ialah Kudrat Allah, bukan hanya sekadar Sunnatullah lagi. Apabila Allah menginginkan sesuatu itu tidak binasa, ia pasti tidak akan binasa.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.
Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman :" Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.”
(Riwayat Imam Ahmad)

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.

Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Sahabatku,
Walaupun yang ada pada masa itu hanyalah segala asbab kebinasaan. Laut yang sama Allah s.w.t. gunakan untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya, dengan laut yang sama juga Allah telah binasakan Fir'aun dan segala bala tenteranya. Manusia pada hukumnya memerlukan pencantuman benih daripada ibu dan bapanya untuk dilahirkan ke muka bumi ini, tetapi siapakah yang telah menjadikan Nabi Isa a.s. tanpa bapa, malah yang menjadikan Nabi Adam a.s. tanpa ibu dan bapa? Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Dalam genggaman-Nyalah segala sesuatu.

Bagaimana Allah s.w.t. telah menghancurkan tentera Abrahah dengan dihantar-Nya burung-burung yang kecil, membawa bersama-sama mereka batu kerikil yang kecil. Cukup untuk menyebabkan Abrahah dan tentera bergajahnya hancur berkecai, bagai daun yang dimakan ulat. Sedangkan ketika itu Abdul Mutalip dan pemimpin arab tidak berupaya melawan tentera Abrahah untuk mempertahankan Ka'abah.

Oleh itu marilah sama-sama kita mentauhidkan Allah s.w.t. dengan sifat yakin dan sahih. Yakin dengan sebenar-benar-Nya bahawa kesempurnaan, ketunggalan, kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. darisegi Zat, Af'aal, Asma' dan Sifat. Kalimah 'Laa ilaaha illallah' ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah daripada hati kita. Hanya Allah dan kesukaan-kesukaan Allah yang layak memenuhi hati kita. Hanya undang-undang dan peraturan hidup daripada Allah s.w.t. sahaja kita terima dan undang-undang lain kita tolak.

Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Wahai hamba-Ku! Hatimu adalah taman-Ku; dan Syurga-Ku adalah tamanmu. Sekiranya engkau tidak bakhil kepada-Ku dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifah-Ku di dalam hatimu, nescaya Aku tidak akan bakhil kepada kamu dengan taman-Ku dan Aku akan tempatkan engkau di dalamnya!"

Akhirkata, yakinilah bahawa semuanya berada dalam pengetahuan dan perhitungan Allah s.w.t. Hati kita hendaklah dipenuhi keyakinan, hanya dengan mengikut perintah Allah, kita akan berjaya. Dan apabila melanggar perintah Allah pasti ada kegagalan dan kehinaan. Janji Allah adalah benar. Akhirat adalah benar, Barzakh adalah benar. Mahsyar adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Segala janji Allah pasti akan berlaku kerana sesungguhnya :'Tiada Tuhan melainkan Allah'


DI PETIK DRI BLOG http://abubasyer.blogspot.com

Monday, July 12, 2010

TAWAKKAL 2


Bertawakkallah Kamu Kepada Allah.


Sahabat yang dikasihi Allah,


Semoga kesejahteraan, keberkatan serta keredhaan Allah sentiasa melimpahi dan membahagiakan sahabat semua.

Untuk menjadi hamba Allah, tanggungjawabmu adalah sentiasa menyembah Allah serta beribadah semata-mata kerana-Nya. Dirimu mestilah dapat menahan segala macam godaan yang membuatkan jiwa dalam keraguan.Jika jiwa ragu-ragu tidak akan dapat menghasilkan ibadah yang baik dan diredhai Allah.Sedangkan melaksanakan ibadah perlu kepada ketenangan rohani serta jasmani. Ini hanya mampu dilakukan oleh orang yang bertawakkal kepada Allah.

Tawakkal menurut Islam membawa maksud meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah. Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

Sahabat,
Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakkal. Tawakkal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakkal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah s.w.t. serta percaya akan pertolongan Allah.

Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.”

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan menjadi orang yang paling kaya hendaklah lebih mempercayai kekuatan dirinya.”

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
(Surah al-Maidah ayat 23)


Sahabatku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah!

Lihatlah pula bahagian tawakkal yang di jelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Minhaju Abidin’.Tawakkal ini merangkumi tiga sudut :

Pertama. Tawakkal mengenai qismah (nasib atau takdir).
Yakin terhadap keputusan Allah yang tetap tidak berubah. Apa jua yang telah ditentukan Allah sejak azali lagi pasti akan kita terima. Maka, bertakwa kepada Allah adalah wajib, kerana segala yang digariskan Allah dalam ‘Lauhul Mahfudz’ adalah benar.

Kedua. Tawakkal dalam pertolongan Allah.
Misalnya dalam keadaan genting berjuang atau dalam apa bentuk kesempitan, Allah menjanjikan pertolongan bagi kita. Sekiranya kita menghadapi suasana begini, keyakinan mestilah dibulatkan, jauhi keraguan dan janji Allah itu pasti benar-benar berlaku.

Ketiga. Tawakkal dalam hal rezeki.
Sesungguhnya di samping menetapkan perintah-Nya. Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)


Sahabat,
Jadilah dirimu umat yang hidup tenteram dan tidak terpengaruh dengan perubahan yang memesongkan matlamat deen Islam.

Selesaikan masaalah ibadah dan tanggungjawabmu tanpa dihalang oleh apa jua godaan.Nanti pasti kamu akan menjadi golongan yang kuat, bebas dan merdeka serta mampu membawa kesejahteraan kepada kehidupan insan.

Sesungguhnya yakinilah bahawa :
*Dunia seisinya beserta akhirat adalah dalam kekuasaan Allah.
*Semua makhluk adalah hamba Allah.
*Urusan rezeki dan apa jua persoalannya adalah dalam susunan dan kekuasaan Allah.
*Allah sebagai Penguasa dan Pemilik alam semesta, segala yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.

Ambillah pengajaran dan perbualan berikut ;
Abdullah bin Umar bertanya, “Bagaimana jika engkau panjang umur dan hidup ditengah-tengah orang yang suka menimbun harta untuk bertahun-tahun disebabkan lemah keyakinannya dengan janji Allah?”

Imam Hasan al-Basri menjawab, “Allah melaknat orang-orang yang tidak mempercayai jaminan-Nya.”

Imam Uwes Qarni r.a pula menyatakan, “Meskipun engkau beribadat sebanyak bilangan penghuni langit dan bumi sekalipun, tidak diterima ibadahmu sebelum engkau mempercayai jaminan Allah.”

Bertanya pula seorang sahabat,”Bagaimana tanda orang yang percaya dengan jaminan Allah.?”

Jawab Imam Uwes Qarni, “Dia sentiasa merasa tenteram dan aman dengan jaminan Allah. Tiada suatu pun yang memalingkannya hingga ia mempunyai banyak kelapangan masa beribadat kepada Allah s.w.t.”

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon kepada Allah semoga kita diberi-Nya kebaikan serta petunjuk agar sentiasa meyakini kekuasaan-Nya. Segala pergantungan jiwa kita seluruhnya hanya terhadap Allah dan tidak dipesungkan kepada selain dari perlindungan Allah.

Ingatlah pesanan berikut :

*Untuk menjadi orang yang paling alim kamu hendaklah takut kepada Allah, takut akan azab dan siksaan-Nya.

*Untuk menjadi orang yang istimewa disisi Allah hendaklah kamu sentiasa berzikir kepada Allah siang dan malam, basahkan lidahmu dengan menyebut nama-Nya.

*Untuk menjadi orang yang paling baik dan berguna, peruntukkanlah masamu berkhidmat pada masyarakat yang memerlukan baktimu.

*Untuk menjadi orang yang paling adil pada orang lain, kamu hendaklah mengasihi orang lain seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.

*Untuk mendapat kesempurnaan iman kamu hendaklah perelok dan perbaiki akhlak kamu.Sesungguhnya akhlak dan iman tidak dapat dipisahkan.



TAWAKKAL

Sifat Tawakal Berlawanan Dengan Putus Asa.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apa itu tawakal? Tawakal bmakna menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Putus asa pula adalah habis atau hilang harapan di dalam sesuatu perkara. Sifat putus asa adalah satu sifat mazmumah yang amat negatif kesannya terhadap individu dan kehidupan seseorang. Sifat putus asa akan membawa seseorang itu menghentikan sesuatu perbuatan. Contohnya, seorang peniaga yang mendapati hasil jualannya kurang memberangsangkan mungkin akan menghentikan perniagaannya.

Sahabat yang dihormati,


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Jangan keliru dengan memisahkan usaha dengan tawakal. Telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah s.a.w menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)
Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Allah berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd ayat 11).

Sahabat yang dimuliakan,

Tawakal membuahkan kesan yang positif seperti berikut :

1. Tawakal membebaskan manusia daripada apa yang ia takutkan seperti kegagalan atau kefakiran.

2.Mendorong manusia menunaikan segala suruhan agama dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3.Sumber kekuatan, antara nya diriwayatkan dalam sesetengah athar bahawa Malaikat mampu menanggung Arasy dengan membaca lafaz : 'Lahaulaquwataillah billah.'

4.Membentuk sifat optimis tentang segala-galanya.

5.Membentuk satu perasaan izzah dalam diri terhadap Allah s.w.t.

6.Melahirkan sifat redha dengan segala ketentuan Allah.

Seseorang yang mempunyai sifat putus asa hanya boleh di atasi apabila individu tersebut melawan unsur negatif dalam dirinya dengan azam yang kuat dan tawakal kepada Allah. Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu di ambil perhatian serius untuk mengatasi sifat putus asa ianya adalah seperti berikut :

1.Tawakal dengan sepenuh hati

2. Yakin dengan janji Allah dan redha dengan segala ketentuan-Nya.

3.Semangat juang yang tinggi (strong will).

4.Jangan fikir kesusahan akan berpanjangan kerana ia akan menyuburkan sifat putus asa.

5. Ingatlah bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang harus iaitu harus melakukan apa saja. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba tidak layak merasa putus asa atau apa jua ketetapan Allah untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil dalam setiap perancangan-Nya.

6. Putus asa bukan jalan keluar daripada sebarang masaalah.

Akhir kata marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan membuangkan segala sifat mazmumah terutama sifat putus asa .Kerana sesungguhnya orang yang beriman tidak akan mempersoalkan ketentuan Allah, ingatlah segala apa yang ditetapkan Allah ke atas diri kita adalah sesuatu yang baik dan ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahuinya.