Monday, June 13, 2011

kITA PASTI BERTEMU DISANA

BEBERAPA ketika kita diuji, dan bentuk ujian itu seolah-olah menghantar diri kita ke daerah putus asa. Berputus asa dari rahmat Tuhan, berputus asa daripada segala kebaikan yang dihidangkan. Maka dirinya tidak sanggup membangkit harga diri untuk sebuah rahmat tadi, hingga dirundum rasa tidak percayakan diri. Di kala itu jua tiada siapa, teman-teman, ahli kerabat terdekat sudi menghulurkan tangan meringankan bebanan, dan tinggal beliau dalam kesempitan terkulat-terkulat.

Melalui silibus kurikulum di dunia, manusia tidak terbatas membuat pada apa yang disukai malah mereka juga dihadapkan bentuk halangan yang mematangkan sebuah tindakan, bersedia atau tidak itulah yang akan menentukan kita masih bermimpi tentang penghidupan atau telah tegar dan mampat daripada segala mehnah.

Dia hanya mahu kebaikan sentiasa dilimpahi buat diri atau memberikan kebaikan itu pula kepada orang lain, kebaikan diri dikongsi dan kecelaan diri dibaiki. Kebaikan ialah sesuatu yang kita rasa selamat dan aman buat selama-lama apabila merasainya.

Hidup hari ke sehari akan menambahkan nilai angka, dan mengurangkan usia kita di sisi Tuhan. Jika hidup ini kita berbangga dengan angka yang sentiasa meningkat, sebenarnya kita telah ditipu oleh angka itu kerana dari sisi berkurangnya usia itu melekakan kita untuk menambah amal dan bekal sebelum ditamatkan hayat masa itu.

Bertambah ilmu adalah suatu kebanggaan. Ilmu itu sebagai benteng diri untuk menanggalkan atau meninggalkan keburukan yang ingin dilakukan, bahkan menguatkan disiplin jati-diri dan harga diri di persinggahan fana ini. Dunia ini tempat dia, ahli kerabat dan teman-teman seislam lain menapak kaki membekaskan pemurnian abadi dengan mengabdikan diri kepada-Nya. Mencari bahagia kerana-Nya, mencari selesa kerana-Nya, mencari harta kerana-Nya, malah mencari cinta kerana-Nya. Pemusatan setiap sesuatu itu dikembalikan kepada Allah Taala, kerana Dia-lah Pemilik Mutlak akan sesuatu itu.

Teringat kepada satu kisah suatu masa dahulu. Imam Hassan Al-Banna mengajar pengikutnya satu ibrah yang cukup tinggi nilai. Itulah dikatakan manusia baik bukan sahaja baik buat diri dan pengabdiannya malah mengajak manusia lain turut bersama-sama di jalan menuju-Nya. Ketika itu, Imam menghadiri ceramah perdana yang dihadiri oleh puluhan ribu pengikut Ikhwanul Muslimin. Beliau memberi pengisian yang hebat pada malam itu, para hadirin terpana dan terpesona mengaut ilmu sebaik mungkin. Usai ceramah, Imam turut bersama para pengikutnya mengemas kerusi dan khemah yang dipasang sambil beliau disapa oleh seorang pengikut setianya;

“Tidak usahlah Imam membebankan diri membantu kerja kami yang telah ditugaskan melakukan ini semua. Imam masih penat berceramah, menyampaikan ilmu kepada kami” sambil pemuda itu menarik tangan Imam Hassan Al-Banna daripada meneruskan niatnya untuk mengangkat kerusi.

“Tidak. Ini pun kerja bagi kudrat dikurniakan kepada-ku. Aku bimbang tentang amal-ku pada malam ini. Aku tidak tahu mana satu amalan-ku akan diterima oleh Allah sama ada ilmu-ku yang telah kalian perolehi atau kerana aku membantu meringankan kerja kalain ketika ini. Aku juga mahu merebut peluang ini bersama-sama kalian” Jawab lembut Imam Hassan Al-Banna.

Dalam soal cinta atau kasih sayang pula melambangkan kekuatan, kesepaduan seseorang di saat dia memerlukan. Dia tahu cinta itu jua milik Sang Pencipta, maka dia menadah tangan memohon kepada-Nya Tuhan Esa. Cinta seperti ombak yang merempuh pantai, ada pasang surut. Kebiasaan cinta ini dikaitkan antara dua pasangan, antara pria dan wanita, suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, dan cinta diharapkan berpanjangan ialah cinta sesama muslim. Tahukah dengan hanya meluruskan cinta ke jalan betul, kita akan bertamu sebuah kepuasan dalam ibadat.

Penghidupan kita adalah mencari redha Tuhan. Dengan segala-gala ini ditujukan kepada Tuhan. Kita pasti dipertemukan di sana membuat perhitungan akhir.