Monday, March 14, 2011


LAWAN NAFSU MU!



Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.

Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.

KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA

“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)

Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.

Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.

Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.”

Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.

Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?

MANUSIA DAN MUJAHADAH

Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:

i) Telah menyerah kalah.

Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)

ii) Sedang dan sentiasa berperang

Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”

iii) Orang yang telah menang

Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.

ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.” Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”

PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

iii) Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.

iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”

“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!


FROM:http://genta-rasa.com/2010/10/20/lawan-hawa-nafsumu/

Monday, March 7, 2011

Berbalas kah Cinta Ku~


"Kita selalu mengucapkan cinta kepada ALLAH. Tetapi pernah tak kita terfikir, adakah ALLAH juga cinta kepada kita?"kata-kata suami di suatu petang, cukup menyentak jiwa ini.

Kuat!




Saya terdiam tidak membalas. Merenung-renung kebenaran dari bicaranya. Bukan tidak pernah terfikir, cuma selalu terlupa.

Berapa ramai manusia yang mengharap dirinya jatuh cinta, lalu setelah merasakan dirinya dicintai, membalas pula huluran kasih itu dengan cinta yang serupa. Maka jadilah mereka dua insan bercinta, saling kasih mengasihi.

Alangkah indahnya kala cinta bersemi, lebih indah bila kasih yang diberi berbalas cinta sejati.

Sebaliknya, bila cinta tidak dihirau, kasih dipandang sepi, bagai bertepuk sebelah tangan, kesakitan yang menjalar dari itu umpama menghulur sebungkus hadiah, tetapi akhirnya ia ‘mendarat’ di tempat sampah.

Sungguh pedih dan menyakitkan perasaan!


CINTA ALLAH
Namun, itu adalah tamsilan cinta sesama manusia. Tentu sahaja interpretasinya tidak sama dan sangat jauh berbeza dengan cinta kepada ALLAH Yang Maha Mencipta.

Kerana, cinta ILAHI bukan sebagaimana cinta Romeo terhadap Juliet, yang berpenghujung dengan kematiannya.

Cinta ILAHI bukan laksana cinta penuh rindu dendam dari Qais kepada Laila, sehingga hidupnya berpanjangan derita siang dan malam.

Juga, cinta ILAHI bukan umpama luahan cinta seorang jejaka kepada gadis yang diidam-idamkannya, sehingga ketika penolakan yang diterima, maka mengalirlah airmata dan hancurlah jiwa.

Sesungguhnya ALLAH SWT itu Maha Kaya. Maha suci DIA dari segala kekurangan cinta yang ada pada cinta manusia.

Andai cinta manusia banyak berakhir dengan kehancuran, rindu sesama mereka berisi kedukaan dan penderitaan, kasih yang diharapkan hanya berbalas curahan airmata dan menghancurkan jiwa, maka cinta ALLAH adalah sebalik dari semua itu.

Cinta ALLAH pasti berakhir dengan kebahagiaan.

Menyintai dan merindui-NYA berisi ketenangan dan kedamaian.

Rasa kasih kepada-NYA, walau masih mengalirkan airmata tetapi ia menghidupkan jiwa seumpama air hujan menyirami pepohonan.

Akan tetapi, berapa ramaikah yang mengambil berat akan ungkapan cinta kepada-NYA beriring rasa khuatir dan bimbang, akan berbalaskah lontaran cinta mereka kepada-NYA?


MAKNA KEHIDUPAN
Pada saya, jawapan kepada persoalan ini banyak dipengaruhi oleh bagaimana mereka menemukan hidup dan memandang nilai kehidupan.

Kita selalu mendengar beragam pendapat masyarakat ketika mereka ditanya apakah makna kehidupan di dunia ini. Sebahagian mengatakan kehidupan dunia ini ibarat pentas teater.

Pada satu-satu persembahan, beragam karektor dan watak akan dimainkan, ada peranan protagonis juga peranan antagonis. Ada orang yang kaya, ada pula orang yang miskin.

Di satu ketika lainnya, muncul peranan imam yang alim dan taat, dihangatkan pula dengan watak pembangkang, pemerintah yang zalim dan menindas rakyat. Lebih meriah setelah itu, penampilan watak penyelamat yang dijulang sebagai wira yang hebat dan lain-lain lagi. Ringkasnya, watak-watak yang diketengahkan banyak menyerupai kehidupan realiti.

Namun, apa yang ditampilkan diatas pentas teater itu hanya pura-pura, bukan satu kebenaran. Kalau ada yang kaya, dia bukan kaya sebenarnya, pun kalau ada yang miskin, kemiskinannya juga satu kepalsuan.

Justeru, bayangkan bagaimana andai kehidupan ini disamakan dengan watak para pelakon di pentas teater. Sudah pasti, kita akan mendapati orang yang taat kepada ALLAH, tapi taatnya hanya satu penyamaran. Taatnya hanya bila ada keperluan, taatnya hanya disaat ditimpa kemalangan, taatnya hanya kerana inginkan sanjungan.

Alangkah meruginya orang yang berpura-pura taat ini kerana ALLAH SWT hanya akan menerima ketaatan yang didasari keikhlasan dan ketulusan.

Tidak kurang juga, sebahagian yang lain mengatasnamakan kehidupan ini seumpama sebuah perjuangan, yang lazimnya diisi dengan sesuatu bersifat 'peperangan dan pertempuran’, sehingga mereka yang memaknai hidupnya sebegini, sering terasak dengan pengisian makna yang mereka letakkan sendiri.

Kehidupannya selalu diwarnai dengan ketidaktenangan, mereka seakan selalu merasa berhadapan dengan persaingan. Akibatnya, tidak kurang individu yang hidupnya jauh dari kedamaian, jauh dari ketenangan, juga jauh dari rasa persahabatan.


MEMAKNAI KEHIDUPAN
Memang benar, setiap orang berhak memiliki pandangan yang berbeza tentang bagaimana mereka mahu memaknakan kehidupan ini, namun andai direnung secara mendalam apalah yang ada pada sebuah panggung teater, yang wataknya hanya satu penyamaran. Apalah pula yang dapat dibanggakan pada sebuah perjuangan, andai ia sekadar pertempuran tanpa berpandu ajaran TUHAN.

Kerana itu, sudut pandang yang benar tentang kehidupan dan menepati kehendak ar Rahman adalah, kehidupan ini tidak lain hanyalah satu pengabdian kepada-NYA lantaran seorang ‘hamba’ sangat menyedari kedudukannya di sisi ‘TUAN’nya yang dipandang terhormat lagi mulia.

Firman ALLAH SWT :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” ( Surah az Zaariyat ayat 56 )

Keadaan inilah yang memudahkannya untuk menerima sebarang pertanggungjawaban baik ia berupa perintah yang wajib dilaksanakan, mahupun larangan yang mesti dijauhkan.

Dia tidak terbeban ketika ALLAH SWT mewajibkan ke atas hamba-hambaNYA untuk melaksankan syari’at, bahkan ketika ALLAH menyuruhnya untuk mengorbankan harta, menahan lapar dan dahaga dan seumpamanya, maka ia dengan rela dan ikhlas melakukan itu semua tanpa keluh kesah dan rasa terdera.

Begitu juga, ketika mana ALLAH SWT memerintahkan agar menjauhkan diri dari larangan-NYA, sungguhpun perkara tersebut sangat diinginkan oleh nafsunya yang membara, ia berusaha untuk menjauhkan diri bahkan menghampirinya juga tidak sesekali.


‘UJIAN’ CINTA
Justeru itu, ALLAH SWT mewar-warkan di dalam firman-NYA:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya :"Katakanlah: ""Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah ali Imran ayat 31 )

Di dalam hal ini, Imam Hassan al Basri rahimahullah pernah mengungkapkan :

“Suatu kaum mengaku cinta kepada ALLAH, lalu ALLAH menguji mereka dengan ayat ini.”
(Tafsir Ibnu Kathir 2/229 )

Hakikatnya, ‘ujian cinta’ yang ALLAH letakkan pada ayat di atas sangat tepat sebagai penentu dan kayu ukur kepada kebenaran dakwaan yang dinyatakan. Berapa ramai dari manusia hari ini yang mengaku beriman dan menuturkan cinta kepada TUHAN, tetapi masih tega melanggar perintah dan larangan-NYA.

Ditambah pula kesibukan mengejar pangkat dan harta sehingga doa dan munajat kepada Yang Esa semakin sirna. Kebohongan demi kebohongan dilakukan demi meraih tumpuan dan sokongan manusia. Tidak kurang juga mereka yang berbuat kerosakan atas nama agama, memutuskan silaturrahmi, bersifat perkauman dan lebih malang, ada yang mendahulukan kehendak nafsu sendiri dari mengutamakan kehendak ILAHI.

Inikah yang digembar gemburkan sebagai menyintai-NYA?


BERBALASKAH CINTAKU?
Lantaran itu, saban kali mengungkapkan cinta pada Yang Maha Esa, rasa malu akan muncul lebih dulu. Disusuli rasa rindu berbelai tangisan hiba.

Berbalaskah cintaku?

Terkenang beberapa untaian ayat-ayat cinta-NYA, juga ingatan daripada junjungan Rasul yang mulia, sebagai panduan dan pedoman bagi menjawab persoalan yang menerpa.

Firman ALLAH SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-NYA, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan ALLAH, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia ALLAH, diberikan-NYA kepada siapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH Maha Luas (pemberian-NYA) lagi Maha Mengetahui.” ( Surah al Maidah ayat 54 )

Dan firman-NYA lagi :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

Maksudnya : “Kerana itu, ingatlah kamu kepada-KU nescaya AKU ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-KU, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-KU.” ( Surah al Baqarah ayat 151 )

Juga sabda baginda SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi ALLAH hendaklah dia mengamati kedudukan ALLAH dalam dirinya. Sesungguhnya ALLAH menempatkan hamba-NYA dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan ALLAH pada dirinya“. ( Hadis riwayat al Hakim )

Akhirnya, mari kita sama-sama berdoa agar lafaz cinta yang dizikirkan, bukan sekadar manis di bibir sahaja. Bahkan, cinta itu kita buktikan melalui perakuan, perkataan dan perbuatan yang mendekat kita kepada DIA yang kita cinta :

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-MU; perbuatan yang memiliki banyak kebaikan, dan meninggalkan berbagai macam kemungkaran, mencintai orang-orang miskin dan ENGKAU mengampuni serta menyayangiku. Dan jika ENGKAU menimpakan fitnah (malapetaka) bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terimbas fitnah itu. Dan aku memohon kepada-MU rasa kecintaan pada-MU, dan cinta pada orang-orang yang mencintai-MU, juga cinta pada amal perbuatan yang akan menghantarkan aku untuk mencintai-MU.” ( Hadis riwayat Ahmad )

Sesungguhnya, tiada yang lebih indah selain beroleh pengiktirafan cinta dari-NYA :

“Jika Allah mencintai seorang hamba maka DIA berfirman: “Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si fulan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.-http://ummuhusna99.blogspot.com-