Sunday, September 18, 2011

Don't Be Sad


Sudah lama diri ini tidak menjenguk blog ini, terasa rindu untuk berkongsi disini. Dalam tempoh beberapa bulan ini banyak ujian demi ujian ditempuhi . Moga diri ini di beri kekuatan utk bermujahadah... Kegembiraan, kesedihan, itu lumrah dalam kehidupan . kedua-dua nikmat perasaan tersebut merupakan kurniaan tidak terhingga kepada makhluk bergelar manusia. Melalui perasaan tersebut lah kita dapat melahirkan rasa syukur kepadaNya.. Kesedihan dan kegembiraan itu pasti ada hikmahnya...Perkongsian kali ini diambil dari satu blog sahabat..Begitu menyentuh , membibik kan ketenagan di hati. Terpanggil diri ini untuk muhasabah...untuk menilai semula perbuatan seharian yang ak lakukan...

  • Ibadah adalah kebahagiaan, kesolehan adalah keberhasilan, dan siapa yang terus berzikir, sentiasa beristighfar dan memperbanyakkan doa, maka ia adalah seorang hamba Allah yang soleh..


  • jauhilah sifat cemas dan bimbang kerana ia racun. hindarilah sifat mudah menyerah kerana ia kebinasaan. buanglah jauh-jauh sifat malas kerana ia menjerumuskan kepada kegagalan. hindarilah sikap tidak iltizam, baik dalam berkata mahupun berbuat kerana sesungguhnya ia bersumber dari rendahnya kawalan diri.

  • sembahyang di malam hari adalah keagungan siang hari , senang memberikan kepada orang lain adalah satu bentuk kebersihan hati dan menunggu pertolongan dari Allah adalah ibadah

  • Dalam musibah itu terdapat empat seni iaitu mencari pahala dari Allah, berkawan dengan kesabaran, berzikir dengan baik, dan menunggu kelembutan dari Allah s.w.t

  • kematian hati seseorang itu dapat diketahui ketika ia meninggalkan ibadah, senang melakukan dosa, tidak peduli dengan sebutan yang buruk, merasa aman dari kemurkaan Allah, dan mencela orang-orang soleh.

  • Kirimkan surat pengharapanmu di tengah keheningan malam. jadikan air matamu sebagai dakwatnya, kedua pipi sebagai kertasnya, kepasrahannnya sebagai setemnya, dan Arasy Illahi sebagai alamatnya. setelah itu tunggulah jawapannnya.

  • Siapakah yang dapat mengabulkan permintaan orang yang sedang diintai bahaya? siapakah yang menyelamatkan seseorang hampir tenggelam ketika ia berteriak meminta tolong? siapakah yang akan menghilangkan kesempitan dan penderitaan? Dialah ALLAH s.w.t!

Dipetik dari blog seroang sahabat.. *Ditujukn kepada sahabat2 yang dalam kesedihan...Pecaya lah Allah bersamamu

Monday, June 13, 2011

kITA PASTI BERTEMU DISANA

BEBERAPA ketika kita diuji, dan bentuk ujian itu seolah-olah menghantar diri kita ke daerah putus asa. Berputus asa dari rahmat Tuhan, berputus asa daripada segala kebaikan yang dihidangkan. Maka dirinya tidak sanggup membangkit harga diri untuk sebuah rahmat tadi, hingga dirundum rasa tidak percayakan diri. Di kala itu jua tiada siapa, teman-teman, ahli kerabat terdekat sudi menghulurkan tangan meringankan bebanan, dan tinggal beliau dalam kesempitan terkulat-terkulat.

Melalui silibus kurikulum di dunia, manusia tidak terbatas membuat pada apa yang disukai malah mereka juga dihadapkan bentuk halangan yang mematangkan sebuah tindakan, bersedia atau tidak itulah yang akan menentukan kita masih bermimpi tentang penghidupan atau telah tegar dan mampat daripada segala mehnah.

Dia hanya mahu kebaikan sentiasa dilimpahi buat diri atau memberikan kebaikan itu pula kepada orang lain, kebaikan diri dikongsi dan kecelaan diri dibaiki. Kebaikan ialah sesuatu yang kita rasa selamat dan aman buat selama-lama apabila merasainya.

Hidup hari ke sehari akan menambahkan nilai angka, dan mengurangkan usia kita di sisi Tuhan. Jika hidup ini kita berbangga dengan angka yang sentiasa meningkat, sebenarnya kita telah ditipu oleh angka itu kerana dari sisi berkurangnya usia itu melekakan kita untuk menambah amal dan bekal sebelum ditamatkan hayat masa itu.

Bertambah ilmu adalah suatu kebanggaan. Ilmu itu sebagai benteng diri untuk menanggalkan atau meninggalkan keburukan yang ingin dilakukan, bahkan menguatkan disiplin jati-diri dan harga diri di persinggahan fana ini. Dunia ini tempat dia, ahli kerabat dan teman-teman seislam lain menapak kaki membekaskan pemurnian abadi dengan mengabdikan diri kepada-Nya. Mencari bahagia kerana-Nya, mencari selesa kerana-Nya, mencari harta kerana-Nya, malah mencari cinta kerana-Nya. Pemusatan setiap sesuatu itu dikembalikan kepada Allah Taala, kerana Dia-lah Pemilik Mutlak akan sesuatu itu.

Teringat kepada satu kisah suatu masa dahulu. Imam Hassan Al-Banna mengajar pengikutnya satu ibrah yang cukup tinggi nilai. Itulah dikatakan manusia baik bukan sahaja baik buat diri dan pengabdiannya malah mengajak manusia lain turut bersama-sama di jalan menuju-Nya. Ketika itu, Imam menghadiri ceramah perdana yang dihadiri oleh puluhan ribu pengikut Ikhwanul Muslimin. Beliau memberi pengisian yang hebat pada malam itu, para hadirin terpana dan terpesona mengaut ilmu sebaik mungkin. Usai ceramah, Imam turut bersama para pengikutnya mengemas kerusi dan khemah yang dipasang sambil beliau disapa oleh seorang pengikut setianya;

“Tidak usahlah Imam membebankan diri membantu kerja kami yang telah ditugaskan melakukan ini semua. Imam masih penat berceramah, menyampaikan ilmu kepada kami” sambil pemuda itu menarik tangan Imam Hassan Al-Banna daripada meneruskan niatnya untuk mengangkat kerusi.

“Tidak. Ini pun kerja bagi kudrat dikurniakan kepada-ku. Aku bimbang tentang amal-ku pada malam ini. Aku tidak tahu mana satu amalan-ku akan diterima oleh Allah sama ada ilmu-ku yang telah kalian perolehi atau kerana aku membantu meringankan kerja kalain ketika ini. Aku juga mahu merebut peluang ini bersama-sama kalian” Jawab lembut Imam Hassan Al-Banna.

Dalam soal cinta atau kasih sayang pula melambangkan kekuatan, kesepaduan seseorang di saat dia memerlukan. Dia tahu cinta itu jua milik Sang Pencipta, maka dia menadah tangan memohon kepada-Nya Tuhan Esa. Cinta seperti ombak yang merempuh pantai, ada pasang surut. Kebiasaan cinta ini dikaitkan antara dua pasangan, antara pria dan wanita, suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, dan cinta diharapkan berpanjangan ialah cinta sesama muslim. Tahukah dengan hanya meluruskan cinta ke jalan betul, kita akan bertamu sebuah kepuasan dalam ibadat.

Penghidupan kita adalah mencari redha Tuhan. Dengan segala-gala ini ditujukan kepada Tuhan. Kita pasti dipertemukan di sana membuat perhitungan akhir.

Friday, May 13, 2011

kENAl ,Kasih, Korban




Kenal, kasih dan korban. Itulah kunci dalam tarbiyyah(pendidikan). Kenal membuahkan kasih, kasih pula melahirkan pengorbanan. Pengorbanan itulah hasil tarbiyyah yang paling gah. Segah tembok besar negeri China, sekadar dijerit dan disalak tidak mungkin roboh menyembah bumi.

Terpegun kita mendengar cerita-cerita pengorbanan. Seronok didengar, bersemangat selepas mendengar, tapi bila sampai kepada giliran kita, kita lari mencicit kebelakang. Pengorbanan hanyalah sekadar laungan lantang di mulut. Cerita pengorbanan hanyalah untuk diakhiri dengan aliran air mata sahaja.

Susah benar untuk membentuk kenal. Manusia bermacam ragam. Kenal bukanlah sekadar tahu nama, asal dari mana, ambil bidang apa, tetapi kenal itu adalah kenal yang sedalam-dalamnya, luas maksudnya. Naqib saya di sekolah dahulu, mendefinisikan kenal yang paling hebat ialah masuk ke rumah sahabat dan menjejak tandas dirumahnya, lalu melangsaikan hajat disitu. Ketawa besar kami dikala itu.

Maka itulah kenal yang tersangat ajaib. Daripada kenal yang sangat ajaib ini, kasih berputik memekar. Kasih itulah yang dikatakan ukhuwwah. Kasih inilah fitrah manusia. Semua tahu kasih tidak boleh dibuat-buat, apatah lagi dipaksa-paksa. Kasih tidak mungkin terjadi dengan taburan dan lontaran wang ringgit, tidak juga dengan tawaran habuan kesenangan dunia tetapi ianya terlahir dari kenal yang mendalam.

Nabi S.A.W pesan kepada kita,

"Tidaklah beriman seseorang di antara kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri" - Hadits Riwayat al-Tirmidzi

Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh terbaik insan yang memiliki teladan sifat kasih. Baginda mengasihi sahabat , sahabat pula teramat-amat mengasihi baginda. Sehinggakan Umar tidak dapat menerima kemangkatan Baginda, lalu Abu Bakar memujuk-mujuk Umar.

Sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah wafat tetapi siapa yang menyembah Allah swt Dia kekal abadi.

Kenyataan Abu Bakar dibantu oleh firman Allah swt yang bermaksud:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? – (Ali Imran : 144.)

Demikianlah sebuah kasih agung yang terukir didalam sejarah.

Bermula dengan kasih, akan tertonjol pengorbanan di penghujungnya. Namun malang, banyak manusia tersalah memberi kasih, diakhirnya tersalah memberi pengorbanan. Adapun di IPT semakin banyak pengorbanan belayar di bahtera-bahtera haram tanpa lesen L, P mahupun kompeten. Buahnya ialah rencana-rencana di dada akhbar, bayi dicampak dalam tong sampah. Paling durjana, bayi dibakar.

Tapi, itulah pengorbanan. Bermula dari kenal, kemudian berputik kasih. Sifirnya mudah, salah kenal, maka kasihnya juga akan tersalur ke jalan yang salah.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pernah cakap,

"Tarbiyyah yang paling ulung ialah tarbiyyah yang mampu melahirkan manusia yang sanggup berkorban"

Justeru, pengorbanan yang sepertimana yang perlu tertanam dalam diri umat ini? Sedangkan kita digolongkan sebagai umat terbaik, dengan beberapa kriteria mudah yang Allah gariskan, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada-Nya.

Sebelum kita mulakan langkah berkorban. Ayuh kita kenal apa yang perlu kita korbankan berdasarkan status kita sebagai umat terbaik. Kita mesti kenal dan tahu kenapa kita mesti berkorban.

Jomlah kita kenali perjuangan kita. Semestinya, jelasnya kenal kita ini kepada perjuangan akan membawa kepada muncul kasih untuk menghulurkan pengorbanan kearah meng-izzah-kan Islam. Kenal dengan orang-orang yang berjuang akan dapat menyemai kasih dan menyuburkan Ukhuwah Islamiyah.

Datanglah tohmahan, ujian, tawaran dunia, emas, wang ringgit. Kesemua itu dikesampingkan apabila kenal dengan perjuangan. Datanglah keletihan, semua itu lenyap sama sekali dek kerana Ukhuwah Islamiyyah meleburkannya. Itulah keramatnya kenal, kasih dan korban.

Tapi awas, jika terus berkorban tanpa bermula dengan kenal yang baik. Maka jangan hairanlah, satu hari nanti pengorbanan itu hanyalah sekerat jalan saja. Gugur tiada pusara, menjadi bualan orang, malu sepanjang zaman!

- Artikel iluvislam.com

Monday, March 14, 2011


LAWAN NAFSU MU!



Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.

Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.

KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA

“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)

Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.

Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.

Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.”

Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.

Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?

MANUSIA DAN MUJAHADAH

Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:

i) Telah menyerah kalah.

Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)

ii) Sedang dan sentiasa berperang

Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”

iii) Orang yang telah menang

Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.

ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.” Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”

PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

iii) Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.

iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”

“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!


FROM:http://genta-rasa.com/2010/10/20/lawan-hawa-nafsumu/

Monday, March 7, 2011

Berbalas kah Cinta Ku~


"Kita selalu mengucapkan cinta kepada ALLAH. Tetapi pernah tak kita terfikir, adakah ALLAH juga cinta kepada kita?"kata-kata suami di suatu petang, cukup menyentak jiwa ini.

Kuat!




Saya terdiam tidak membalas. Merenung-renung kebenaran dari bicaranya. Bukan tidak pernah terfikir, cuma selalu terlupa.

Berapa ramai manusia yang mengharap dirinya jatuh cinta, lalu setelah merasakan dirinya dicintai, membalas pula huluran kasih itu dengan cinta yang serupa. Maka jadilah mereka dua insan bercinta, saling kasih mengasihi.

Alangkah indahnya kala cinta bersemi, lebih indah bila kasih yang diberi berbalas cinta sejati.

Sebaliknya, bila cinta tidak dihirau, kasih dipandang sepi, bagai bertepuk sebelah tangan, kesakitan yang menjalar dari itu umpama menghulur sebungkus hadiah, tetapi akhirnya ia ‘mendarat’ di tempat sampah.

Sungguh pedih dan menyakitkan perasaan!


CINTA ALLAH
Namun, itu adalah tamsilan cinta sesama manusia. Tentu sahaja interpretasinya tidak sama dan sangat jauh berbeza dengan cinta kepada ALLAH Yang Maha Mencipta.

Kerana, cinta ILAHI bukan sebagaimana cinta Romeo terhadap Juliet, yang berpenghujung dengan kematiannya.

Cinta ILAHI bukan laksana cinta penuh rindu dendam dari Qais kepada Laila, sehingga hidupnya berpanjangan derita siang dan malam.

Juga, cinta ILAHI bukan umpama luahan cinta seorang jejaka kepada gadis yang diidam-idamkannya, sehingga ketika penolakan yang diterima, maka mengalirlah airmata dan hancurlah jiwa.

Sesungguhnya ALLAH SWT itu Maha Kaya. Maha suci DIA dari segala kekurangan cinta yang ada pada cinta manusia.

Andai cinta manusia banyak berakhir dengan kehancuran, rindu sesama mereka berisi kedukaan dan penderitaan, kasih yang diharapkan hanya berbalas curahan airmata dan menghancurkan jiwa, maka cinta ALLAH adalah sebalik dari semua itu.

Cinta ALLAH pasti berakhir dengan kebahagiaan.

Menyintai dan merindui-NYA berisi ketenangan dan kedamaian.

Rasa kasih kepada-NYA, walau masih mengalirkan airmata tetapi ia menghidupkan jiwa seumpama air hujan menyirami pepohonan.

Akan tetapi, berapa ramaikah yang mengambil berat akan ungkapan cinta kepada-NYA beriring rasa khuatir dan bimbang, akan berbalaskah lontaran cinta mereka kepada-NYA?


MAKNA KEHIDUPAN
Pada saya, jawapan kepada persoalan ini banyak dipengaruhi oleh bagaimana mereka menemukan hidup dan memandang nilai kehidupan.

Kita selalu mendengar beragam pendapat masyarakat ketika mereka ditanya apakah makna kehidupan di dunia ini. Sebahagian mengatakan kehidupan dunia ini ibarat pentas teater.

Pada satu-satu persembahan, beragam karektor dan watak akan dimainkan, ada peranan protagonis juga peranan antagonis. Ada orang yang kaya, ada pula orang yang miskin.

Di satu ketika lainnya, muncul peranan imam yang alim dan taat, dihangatkan pula dengan watak pembangkang, pemerintah yang zalim dan menindas rakyat. Lebih meriah setelah itu, penampilan watak penyelamat yang dijulang sebagai wira yang hebat dan lain-lain lagi. Ringkasnya, watak-watak yang diketengahkan banyak menyerupai kehidupan realiti.

Namun, apa yang ditampilkan diatas pentas teater itu hanya pura-pura, bukan satu kebenaran. Kalau ada yang kaya, dia bukan kaya sebenarnya, pun kalau ada yang miskin, kemiskinannya juga satu kepalsuan.

Justeru, bayangkan bagaimana andai kehidupan ini disamakan dengan watak para pelakon di pentas teater. Sudah pasti, kita akan mendapati orang yang taat kepada ALLAH, tapi taatnya hanya satu penyamaran. Taatnya hanya bila ada keperluan, taatnya hanya disaat ditimpa kemalangan, taatnya hanya kerana inginkan sanjungan.

Alangkah meruginya orang yang berpura-pura taat ini kerana ALLAH SWT hanya akan menerima ketaatan yang didasari keikhlasan dan ketulusan.

Tidak kurang juga, sebahagian yang lain mengatasnamakan kehidupan ini seumpama sebuah perjuangan, yang lazimnya diisi dengan sesuatu bersifat 'peperangan dan pertempuran’, sehingga mereka yang memaknai hidupnya sebegini, sering terasak dengan pengisian makna yang mereka letakkan sendiri.

Kehidupannya selalu diwarnai dengan ketidaktenangan, mereka seakan selalu merasa berhadapan dengan persaingan. Akibatnya, tidak kurang individu yang hidupnya jauh dari kedamaian, jauh dari ketenangan, juga jauh dari rasa persahabatan.


MEMAKNAI KEHIDUPAN
Memang benar, setiap orang berhak memiliki pandangan yang berbeza tentang bagaimana mereka mahu memaknakan kehidupan ini, namun andai direnung secara mendalam apalah yang ada pada sebuah panggung teater, yang wataknya hanya satu penyamaran. Apalah pula yang dapat dibanggakan pada sebuah perjuangan, andai ia sekadar pertempuran tanpa berpandu ajaran TUHAN.

Kerana itu, sudut pandang yang benar tentang kehidupan dan menepati kehendak ar Rahman adalah, kehidupan ini tidak lain hanyalah satu pengabdian kepada-NYA lantaran seorang ‘hamba’ sangat menyedari kedudukannya di sisi ‘TUAN’nya yang dipandang terhormat lagi mulia.

Firman ALLAH SWT :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” ( Surah az Zaariyat ayat 56 )

Keadaan inilah yang memudahkannya untuk menerima sebarang pertanggungjawaban baik ia berupa perintah yang wajib dilaksanakan, mahupun larangan yang mesti dijauhkan.

Dia tidak terbeban ketika ALLAH SWT mewajibkan ke atas hamba-hambaNYA untuk melaksankan syari’at, bahkan ketika ALLAH menyuruhnya untuk mengorbankan harta, menahan lapar dan dahaga dan seumpamanya, maka ia dengan rela dan ikhlas melakukan itu semua tanpa keluh kesah dan rasa terdera.

Begitu juga, ketika mana ALLAH SWT memerintahkan agar menjauhkan diri dari larangan-NYA, sungguhpun perkara tersebut sangat diinginkan oleh nafsunya yang membara, ia berusaha untuk menjauhkan diri bahkan menghampirinya juga tidak sesekali.


‘UJIAN’ CINTA
Justeru itu, ALLAH SWT mewar-warkan di dalam firman-NYA:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya :"Katakanlah: ""Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah ali Imran ayat 31 )

Di dalam hal ini, Imam Hassan al Basri rahimahullah pernah mengungkapkan :

“Suatu kaum mengaku cinta kepada ALLAH, lalu ALLAH menguji mereka dengan ayat ini.”
(Tafsir Ibnu Kathir 2/229 )

Hakikatnya, ‘ujian cinta’ yang ALLAH letakkan pada ayat di atas sangat tepat sebagai penentu dan kayu ukur kepada kebenaran dakwaan yang dinyatakan. Berapa ramai dari manusia hari ini yang mengaku beriman dan menuturkan cinta kepada TUHAN, tetapi masih tega melanggar perintah dan larangan-NYA.

Ditambah pula kesibukan mengejar pangkat dan harta sehingga doa dan munajat kepada Yang Esa semakin sirna. Kebohongan demi kebohongan dilakukan demi meraih tumpuan dan sokongan manusia. Tidak kurang juga mereka yang berbuat kerosakan atas nama agama, memutuskan silaturrahmi, bersifat perkauman dan lebih malang, ada yang mendahulukan kehendak nafsu sendiri dari mengutamakan kehendak ILAHI.

Inikah yang digembar gemburkan sebagai menyintai-NYA?


BERBALASKAH CINTAKU?
Lantaran itu, saban kali mengungkapkan cinta pada Yang Maha Esa, rasa malu akan muncul lebih dulu. Disusuli rasa rindu berbelai tangisan hiba.

Berbalaskah cintaku?

Terkenang beberapa untaian ayat-ayat cinta-NYA, juga ingatan daripada junjungan Rasul yang mulia, sebagai panduan dan pedoman bagi menjawab persoalan yang menerpa.

Firman ALLAH SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-NYA, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan ALLAH, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia ALLAH, diberikan-NYA kepada siapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH Maha Luas (pemberian-NYA) lagi Maha Mengetahui.” ( Surah al Maidah ayat 54 )

Dan firman-NYA lagi :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

Maksudnya : “Kerana itu, ingatlah kamu kepada-KU nescaya AKU ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-KU, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-KU.” ( Surah al Baqarah ayat 151 )

Juga sabda baginda SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi ALLAH hendaklah dia mengamati kedudukan ALLAH dalam dirinya. Sesungguhnya ALLAH menempatkan hamba-NYA dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan ALLAH pada dirinya“. ( Hadis riwayat al Hakim )

Akhirnya, mari kita sama-sama berdoa agar lafaz cinta yang dizikirkan, bukan sekadar manis di bibir sahaja. Bahkan, cinta itu kita buktikan melalui perakuan, perkataan dan perbuatan yang mendekat kita kepada DIA yang kita cinta :

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-MU; perbuatan yang memiliki banyak kebaikan, dan meninggalkan berbagai macam kemungkaran, mencintai orang-orang miskin dan ENGKAU mengampuni serta menyayangiku. Dan jika ENGKAU menimpakan fitnah (malapetaka) bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terimbas fitnah itu. Dan aku memohon kepada-MU rasa kecintaan pada-MU, dan cinta pada orang-orang yang mencintai-MU, juga cinta pada amal perbuatan yang akan menghantarkan aku untuk mencintai-MU.” ( Hadis riwayat Ahmad )

Sesungguhnya, tiada yang lebih indah selain beroleh pengiktirafan cinta dari-NYA :

“Jika Allah mencintai seorang hamba maka DIA berfirman: “Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si fulan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.-http://ummuhusna99.blogspot.com-

Monday, January 10, 2011

Bagaimana ingin bersyukur?


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.”

(H.R. Bukhari)


Huraian

Firman Allah SWT yang maksudnya: ”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim : Ayat 7).

Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah

i) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “Alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

http://murabbiy.com

Sunday, January 9, 2011

Amru Bin al-Jamuh RA




Amru Bin al-Jamuh RA adalah seorang yang sangat tempang, akan tetapi dia sangat mencintai jihad dan berperang di jalan Allah. Beliau mempunyai empat orang anak lelaki. Kesemua mereka telah menyertai banyak peperangan bersama Rasulullah SA...W.



Di dalam perang Badar, ‘Amru berkeinginan untuk keluar berjihad bersama kaum Muslimin yang lain. Akan tetapi anak-anaknya telah pergi kepada Rasulullah SAW dan mereka meminta baginda menghalang ayah mereka daripada keluar berperang. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan ‘Amru bin al-Jamuh tinggal di Madinah, dan tidak keluar berperang.



Apabila berlakunya perang Uhud, dia berkeinginan untuk keluar berperang bersama-sama anaknya. Tetapi mereka berkata kepada beliau: Demi Allah! Tidaklah ia menjadi kewajipan ke atas engkau. Sesungguhnya Allah telah memberi engkau keuzuran (untuk tidak pergi berperang). Kami berjihad mewakili engkau. Lalu ‘Amru mengambil pedangnya dan pergi kepada Rasulullah SAW dan berkata: Ya Rasulullah! Sesungguhnya anak-anakku mahu menghalang aku daripada keluar berjihad bersamamu. Demi Allah! Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk berjalan dengan kaki ku yang tempang ke syurga [Ibn Hisham]



Apabila Rasulullah SAW melihat kesungguhannya untuk keluar berjihad, baginda mengizinkannya, dan berkata kepada beliau: Adapun engkau, sesungguhnya Allah telah memberi engkau keuzuran, jihad tidak wajib untuk engkau. Adapun kalian wahai anak-anaknya! Tidak boleh kalian menghalangnya. Semoga Allah mengurniakannya syahid.



Maka bertemulah dua pasukan tentera, bergeraklah ‘Amru bin al-Jamuh dan keempat-empat anaknya bersama tentera-tentera Islam, mereka memerangi tentera syirik dengan pedang-pedang mereka. Mereka memerangi kaum musyrikin dengan penuh keberanian, lalu Allah mengurniakan syahid kepada ‘Amru bin al-Jamuh sebagaimana yang dia harapkan.



Kaum Muslimin mengumpulkan jenazah para syuhada’ dan mengkuburkan mereka. Ketika sampai di jenazah ‘Abdullah bin ‘Amru bin Haram dan ‘Amru bin al-Jamuh, Rasulullah SAW mengarahkan mereka untuk menguburkan mereka berdua di dalam satu kubur. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Demi Tuhan yang nyawaku di TanganNya! Sesungguhnya di kalangan kalian ada yang jika dia bersumpah kepada Allah, nescaya ia akan berlaku (yang dimaksudkan di sini ialah ‘Amru bin al-Jamuh] [HR Ahmad]



Beliau radiallahu ‘anhu berkata kepada Rasulullah SAW sebelum perang Uhud: Ya Rasulullah ! Apa pandanganmu seandainya aku berperang di jalan Allah sehingga aku terbunuh. Apakah aku akan berjalan dengan kakiku ini ke syurga? kaki Amru bin al-Jamuh adalah tempang. Jawab Rasulullah SAW: Ya! Ketika beliau terbunuh di dalam perang Uhud, Rasulullah SAW lalu di jenazahnya dan bersabda: Sesungguhnya aku nampak dia berjalan di syurga dengan kakinya yang tempang [Ibn Abdil Barr]

Thursday, January 6, 2011

Wanita

Akal Senipis Rambutnya.......
Jangankan lelaki biasa,malah nabi pun terasa sunyi tanpa wanita...dab bilahan yang menaikkn kemuliaan wanita. Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah memiliki segalanya. Apakah yang kurang dan apakah yang tiada didalam syurga.

Namun adam tetap rindukan hawa . Dan jadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok. Untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus, mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskan wanita dengan jalan yang ditunjuk olehAllah, Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan darinya. Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar, .Jgn hiburkan mereka dengan kecantikan kerana mereka akan semakin derita... Kenalkan mereka kepada Allah,zat yang kekal. Di stulah punca kekuatan dunia..

Akal senipis rambutnya,tebalkan lah ia dengan ilmu. Hati serapuh kaca,
kuatkanlah dengan iman..Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.
Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya...Mereka akan lihat nilaian dan keadilan ilahi Rabbi..
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukanlah satu kelemahan....
ia bukan diskriminasi Allah..sebaliknya disitulah kasih sayang Allah..
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya..pasti akan terhibur ,dan tidak akan menghiburkan..
Tanpa iman, lmu dan akhlak..Mereka tidak lurus...
Bahkan semakin bengkok...

itu lah hakikat supaya wanita itu kenal iilahi rabbi yang maha berkuasa mencipta segalanya... Bila wanita menjadi derhaka..pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara...Tapi binalah kepimpinan melalui bimbingan..Pasti sebelum bertemu illahi rabbi, Selamatkan dan sempurnakanlah drinya...Dekatkan dirinya kepada Allah SWT..Nescaya akan dipermudahkan Allah SWT kepentingan dunia dan akihirat dibawah pimpinanmu..

Ak tidak mengharapkan isteri semulia Fatimah Az zahra seandainya diriku tidak sehebat saidina Ali K.W