Thursday, June 24, 2010

uKhwAh Islamiyah

MUQADDIMAH

Konsep Ukhwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah yang mana ianya merupakan kurniaan atau pemberian daripada Allah swt. Dia melontarkannya kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)

KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH (PERSAUDARAAN):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Harakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:

“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.


2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.


4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1)Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)”. (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair”. (Hadis riwayat ).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”.

(Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).

SYARAT-SYARAT UKHWAH

a. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah swt. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan dan bebas dari sebarang elemen atau sifat kepentingan peribadi atau kerana kepentingan seseorang.

Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.

Malaikat itu bertanya, “Ke mana kamu hendak pergi?”

Jawab lelaki itu, “Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini”.

Malaikat itu bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?”

Lelaki itu menjawab, “Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah.”

Kemudian malaikat itupun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya”.

b. Mestilah disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt.


Seseorang Muslim itu mestilah memilih sahabatnya yang soleh dan bertaqwa supaya dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya. Nabi Muhammad saw telah menjelaskan akan kepentingan memilih sahabat yang baik sebagaimana yang disabdakan Baginda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut).” (Muntafaq ‘Alaih)

Namun demikian, ia tidak beerti kita tidak boleh langsung berkomunikasi atau bersahabat amaada kepada golongan yang tidak baik atau kafir, tetapi di dalam konteks ini kita mestilah istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan. Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.

c. Mereka yang berukhuwwah mestilah melazimi diri dengan manhaj Islam.
Syarat yang seterusnya bagi mereka yang berukhwah ini mestilah melazimi diri mereka dengan peraturan ataupun manhaj Allah swt sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Islam. Sumber penyelesaian pertikaian ataupun masalah mesti dirujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Sebagaimana Sabda Nabi saw yang bermaksud:

Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya”.

Jika disoroti kepada perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal soleh.

d. Mempraktikkan amalan nasihat-menasihati.
Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah al-Asr:

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)

e. Ukhuwwah yang melaksanakan konsep saling tolong menolong samada dalam susah atau senang.

Di dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang teramat penting sebagai asas kepada perjuangan. Rasulullah saw dan juga para sahabat telah menunjukkan contoh yang terbaik di dalam membantu dan menolong sesama mereka. Mereka saling lengkap-melengkapi tidak kira dalam masa Nabi berada di Mekah ataupun tatkala Islam berkuasa di Madinah. Sabda

Rasulullah saw yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Muntafaq ‘Alaih)

Hak-Hak Ukhwah

a. Memberi salam
b. Menjawab salam
c. Menziarahi sahabat yang sakit.
d. Mengiringi jenazah
e. Memenuhi undangan.
f. Mendoakan sahabat ketika bersin.
g. Menolong mereka yang dizalimi.
h. Memberikan perhatian kepada nasihat yang diberikan.
i. Menolong mereka yang kesusahan.

Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:

1) Saling tolong menolong samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain”

2) Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.
3) Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.


4) Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: “tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.


5) Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.
6) Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.


7) Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.


8) Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya.


KESATUAN AQIDAH

Ia merupakan faktor terasas dalam pembentukan Wahdatul Amal dan Wahdatul Fikr. Tumpuan utama dalam menyatupadukan Aqidah ialah dengan mentauhidkan Allah kerana tuntutan tauhid adalah bertunjangkan Rububiyyah dan Uluhiyyah. Tauhid yang diimani inilah yang menjadi asas kefahaman yang jelas seterusnya melahirkan amal Islami yang ikhlas. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang ingkar kepada taghut lalu mereka beriman kepada Allah, seungguhnya mereka telah berpegang kepada tali Allah yang amat kuat dan tidak akan ia putus. Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah : 256)

Berdasarkan Sirah Rasulullah saw, baginda pada permulaannya telah menjalankan usaha memperbetulkan aqidah masyarakat daripada kekotoran syirik dan kufur kea rah mengesakan Allah bagi mencapai kesatuan ummah. Manakala menurut Hassan al-Banna pula, beliau mengelakkan daripada berlaku perpecahan dengan memberikan kefahaman yang jelas dan menutup pintu penyelewengan.

KESATUAN AMAL DAN MATLAMAT

Hasil daripada kesatuan fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah kesatuan amal dalam jemaah kea rah matlamat yang satu. Apa yang paling penting dalam merealisasikan kesatuan amal dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak kepada Allah, Rasul dan ketaatan kepada jalan yang benar kepada pimpinan. Segala yang diputuskan oleh pimpinan perlu ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat. Keingkaran kepada perkara tersebut dan saling merasa hebat akan mewujudkan perpecahan dalam jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di dalamnya.

Hassan Al Banna di dalam Risalah Ta’lim menganjurkan kepada Amal Islami yang serius. Menurut beilau, umat Islam apabila sibuk dengan amali, perdebatan akan berkurangan. Apabila umat Islam itu akan ditimpa kelemahan dan kemunduran serta kelunturan semangat ahli sekiranya mereka hanya sibuk berdebat yang akhirnya mewujudkan perpecahan.

Kesan daripada tiadanya amal dan system di dalam gerakan Islam dan dakwah, kita dapati banyak kumpulan yang mendakwa mereka sebagai badan Islam dan dakwah, sedangkan cara yang dilakukan adalah bertentangan dengan syara’. Oleh itu, tidak harus bagi sesiapa untuk samaada menyertai atau menyokong jalan tersebut walaupun matlamatnya adalah untuk Islam (matlamat menghalalkan cara).

Jalan atau cara yang perlu dilalui oleh anggota jamaah dan ahli gerakan dakwah ialah:

a. Iman yang mendalam.
b. Kefahaman asas yang mantap.
c. Pembentukan dan perancangan yang rapi.
d. Bekerja dan beramal dengan berterusan dan ikhlas.

Manakala matlamat umum jamaah Islam adalah untuk mendapatkan Mardhatillah dengan berusaha melaksanakan tugas mendaulatkan Syariat Islam sebagai sebuah kuasa yang memerintah. Daulah Islamiyyah yang dimaksudkan adalah yang berteraskan ajaran Tauhid bukannya dari pemikiran Orientalis atau golongan Sekular dan ia menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim.


Di petik dari PEmuda Wilayah...

Tuesday, June 22, 2010

Keikhlasan Dan Menghadhirkan Niat Dalam Segala Perbuatan, Ucapan Dan Keadaan Yang Nyata Dan Yang Samar


Allah Ta'ala berfirman:

‏ وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء ويقيموا الصلاة، ويؤتوا الزكاة، وذلك دين القيمة

"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya sama menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuk-Nya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang sedemikian itulah agama yang benar." (al-Bayyinah: 5)




قل إن تخفوا ما في صدوركم أو تبدوه يعلمه الله


"Katakanlah - wahai Muhammad ,sekalipun engkau semua sembunyikan apa-apa yang ada di dalam hatimu ataupun engkau sekalian tampakkan, pasti diketahui juga oleh Allah." (ali-lmran: 29)


- 1وعن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب بن نفيل بن عبد العزى بن رياح بن قرط بن رزاح بن عدى بن لؤى ابن غالب القرشى العدوى‏.‏ رضي الله عنه، قال‏:‏ سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول‏:‏ ‏"‏ إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها، أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه‏"‏ ‏(‏‏(‏متفق على صحته‏.‏ رواه إماما المحدثين‏:‏ أبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيرى النيسابورى رضي الله عنهما في صحيحهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة‏)‏‏)‏‏.‏

1. Dari Amirul mu'minin Abu Hafs iaitu Umar bin Al-khaththab bin Nufail bin Abdul 'Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin 'Adi bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-'Adawi r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda [3] :

"Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan hanyasanya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnyapun kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu."

(Muttafaq (disepakati) atas keshahihannya Hadis ini)



Keterangan:

Hadis di atas adalah berhubung erat dengan persoalan niat. Rasulullah s.a.w. menyabdakannya itu ialah kerana di antara para sahabat Nabi s.a.w. sewaktu mengikuti untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah, semata-mata sebab terpikat oleh seorang wanita yakni Ummu Qais. Beliau s.a.w. mengetahui maksud orang itu, lalu bersabda sebagaimana di atas.

Oleh kerana orang itu memperlihatkan sesuatu yang bertentangan dengan maksud yang terkandung dalam hatinya, meskipun sedemikian itu boleh saja, tetapi sebenarnya tidak patut sekali sebab saat itu sedang dalam suasana yang amat genting dan rumit, maka ditegurlah secara terang-terangan oleh Rasulullah s.a.w.

Bayangkanlah, betapa anehnya orang yang berhijrah dengan tujuan memburu wanita yang ingin dikahwin, sedang sahabat beliau s.a.w. yang lain-lain dengan tujuan menghindarkan diri dari amarah kaum kafir dan musyrik yang masih tetap berkuasa di Makkah, hanya untuk kepentingan penyebaran agama dan keluhuran Kalimatullah.

Bukankah tingkah-laku manusia sedemikian itu tidak patut sama-sekali.

Jadi oleh sebab niatnya sudah keliru, maka pahala hijrahnya pun kosong. Lain sekali dengan sahabat-sahabat beliau s.a.w. yang dengan keikhlasan hati bersusah payah menempuh jarak yang demikian jauhnya untuk menyelamatkan keyakinan kalbunya, pahalanya pun besar sekali kerana hijrahnya memang dimaksudkan untuk mengharapkan keredhaan Allah dan RasulNya. Sekalipun datangnya Hadis itu mula-mula tertuju pada manusia yang salah niatnya ketika ia mengikuti hijrah, tetapi sifatnya adalah umum. Para imam mujtahidin berpendapat bahwa sesuatu amal itu dapat sah dan diterima serta dapat dianggap sempurna apabila disertai niat. Niat itu ialah sengaja yang disembunyikan dalam hati, ialah seperti ketika mengambil air sembahyang atau wudhu', mandi shalat dan lain-lain sebagainya.

Perlu pula kita maklumi bahawa barangsiapa berniat mengerjakan suatu amalan yang bersangkutan dengan ketaatan kepada Allah ia mendapatkan pahala. Demikian pula jikalau seseorang itu berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tetapi tidak jadi dilakukan, maka dalam hal ini orang itupun tetap juga menerima pahala. Ini berdasarkan Hadis yang berbunyi:

"Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya."

Maksudnya: Berniatkan sesuatu yang tidak jadi dilakukan sebab adanya halangan yang tidak dapat dihindarkan itu adalah lebih baik daripada sesuatu kelakuan yang benar-benar dilaksanakan, tetapi tanpa disertai niat apa-apa.

Thursday, June 17, 2010

MARI BERDEMOSTRASI HARI-HARI






Assalamualikum w.b.t..Alhamdulillah setelah usai membaca artikel di bawah..baru lah sayafaham yang mana lebih awla' dan perlu dititikberatkan bersama..tidak salah untuk berdemostrasi..malahan ia digalakan dan satu usha yang baik. Artikel ini sedikit sebanyak membuka pintu hati dan fikiran agar memahami  bahawa berdemostrasi itu mempunyai skop yang begitu luas.Tidak terbatas hanya pada demostrasi di jalan raya atau mana-mana tempat,ianya menjangkau lebih dari apa yang kita nampak secara mata kasar..selamat menghayati artikel di bawah.



Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan, tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta (blind spot) masing-masing.


Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik. Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi anti-Yahudi yang begitu marak sekarang.

Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli kariah kami yang turut berada di atas kapal misi bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir. Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai oleh kita bersama.

Palestin bukan soal ‘mereka’ tetapi soal ‘kita’. Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog. Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi :

MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak CIk tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga semua itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:


“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”


Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam

menyusun dan mengatur kehidupan ini?

dipetik dari http://genta-rasa.com

Wednesday, June 16, 2010

Dengan Lafaz"Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Mengasihani" Aku mulakan penulisan blog ini..


Apabila sesuatu perkara itu di mulakan dengan nama Allah..niat itu sejurus hanya kepada Allah ,perkara yang hendak di lakukan itu semestinya selari dengan syariat dan baik isinya ...tiada niat lain yg terselindung. Di harap kan blog ini dapat memeberi sedikit kata-kata nasihat dan teguran buat diri sendiri dan sahabat sekalian..

Kebanyakan kandungan blog ini akan dipetik dari aritkel2 yang ana baca dan diri ini masih lagi merangkak-rangkak dan berjinak-jinak dengan penulisan blog..